mahfuz omar  
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar

YAN - Cubaan 'mensabotaj' Pas dengan menetapkan hari pengundian pada hari bekerja di PRK Dun Sungai Limau nyata gagal apabila taktik itu tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada parti terbabit, dakwa Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata, walaupun pihaknya kehilangan lebih 1,000 majoriti undi - akibat peratusan keluar mengundi terjejas, namun majoriti minimum 500 undi yang disasarkan sebelum ini dapat dicapai dan jauh lebih baik.

"Kekurangan majoriti ini bukannya kemenangan moral BN, tetapi kekurangan itu disebabkan lebih 1,000 pengundi di luar kawasan pilihan raya yang tidak dapat balik mengundi.

"Kadar keluar mengundi berkurangan daripada 89 peratus kepada 85.5 peratus turut menjejaskan majoriti undi Pas.

"SPR harus mengambil pengajaran ini supaya di lain kali pilihan raya tidak boleh diadakan pada hari bekerja kerana ia menjadi penghalang daripada mereka membuang undi," katanya kepada pemberita selepas SPR mengumumkan Dun Sungai Limau kekal milik Pas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, di sini, malam tadi.

Calon Pas, Mohd Azam Abdul Samat menewaskan calon BN, Dr Abdul Sohaimi Lazim dengan majoriti undi sebanyak 1,084 sekali gus mempertahankan kerusi yang menjadi kubu kuat Pas.

Dalam pada itu, Mahfuz yang juga naib presiden Pas menyifatkan kemenangan itu sebagai 'anugerah ALLAH' pada malam sambutan Maal Hijrah bagi tahun 1435 hijrah.

"Maal Hijrah pada malam ini adalah permulaan yang baik Pas bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat untuk memulakan langkah untuk kembali ke persada politik di Kedah menjelang PRU14 nanti," katanya lagi.