Rabu, 20 November 2013

Karamkah kapal DAP-PAS ekoran Karpal?




Oleh Amran Ahmad


Perbalahan antara Pengerusi DAP, Karpal Singh dengan beberapa pimpinan utama PAS, yang paling ketara dengan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob dan Dewan Muslimat PAS ternyata tiada penghujungnya sehingga hari ini.

Disahut pula oleh beberapa pimpinan tertinggi PAS yang lain antaranya Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan yang juga calon Timbalan Presiden PAS Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah yang menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gelugor hanya satu suara ganjil dalam Pakatan Rakyat (PR).

Justeru, segelintir dengan cepat berpendapat bahawa inilah bibit-bibit yang boleh menjerumuskan kedua-dua parti ke lembah kebinasaan yang memungkinkan kapal PR karam apabila PAS tidak lagi mahu menjadi antara nakhoda utamanya.

Ada yang yang berpendapat bahawa perbalahan secara terang-terangan ini menjadi suatu manifestasi kepada kekecewaan PAS dalam bergandingan bersama DAP pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang tidak lagi dapat dibendung.

Malah ada juga yang berpendapat kelantangan pimpinan PAS ini adalah sebahagian kempen di kalangan calon-calonnya menjelang Muktamar Tahunan PAS ke-59 akan menyaksikan pemilihan untuk jawatan tertinggi di peringkat pusat dan dewan-dewan bagi penggal 2013-2015 bermula 20 November ini.

Apa jua penyebab atau ramalannya, perbalahan secara terbuka yang mendapat liputan meluas oleh media cetak, elektronik dan portal berita tempatan terutama milik Umno seperti Utusan Malaysia dan TV3 itu, secara terang lagi bersuluh, menggambarkan kekusutan hubungan antara PAS dan DAP.

Itu belum termasuk kecenderungan PAS Kelantan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi melicinkan pelaksanaan undang-undang hudud di negeri tersebut, suatu tindakan yang tidak digemari oleh DAP dan sering menjadi punca pertikaman lidah antara kedua-dua parti sebelum ini.

Bagaimanapun, ia tidak mampu untuk menjadi faktor utama kepada perpecahan dalam PR, apatah lagi tidak memungkinkan kepada keputusan PAS untuk tidak lagi bergandingan bersama DAP dan PKR pada PRU14.

Apa yang lebih menarik untuk diperhatikan ialah keputusan pemilihan PAS pada 24 November ini yang akan menjadi penentu kepada kesinambungan hubungan erat antara parti komponen dalam PR terutama DAP dan PAS.

Ada yang berpendapat, jika Mohamad Sabu yang lebih terkenal dengan panggilan Mat Sabu berjaya mengekalkan jawatannya, maka hubungan PAS dan DAP kekal seperti biasa malah akan terus diperkukuhkan.

Telah menjadi rahsia umum mengenai hubungan akrab antara Mat Sabu dengan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semenjak sama-sama menjadi penghuni Kem Kamunting semasa Operasi Lalang 1987.

Keakraban yang dicemburui oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin ini terserlah kerana Guan Eng dikatakan sanggup berjaga malam jika Mat Sabu mengajaknya menemani beliau makan nasi kandar jika Mat Sabu singgah di Pulau Mutiara itu.

Keakraban tersebut juga meletakkan Mat Sabu dalam kedudukan untuk menjawat kerusi Pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA).

Namun jika Nik Amar pula berjaya meneruskan Mat Sabu untuk jawatan nombor dua dalam PAS itu, ramai melihat bukan sahaja keakraban antara kedua-dua parti itu tergugat, malah turut melibatkan PKR.

Pandangan ini tidak salah jika dilihat pada kenyataan Nik Amar sebelum ini yang pernah bertegas mengenai keperluan PAS mengkaji kerjasamanya dengan DAP dan PKR setelah parti itu gagal mendapatkan sokongan majoriti pengundi Melayu pada PRU13.

Nik Amar dipetik sebagai berkata : "PAS ketinggalan dalam PRU yang lalu dalam jumlah kerusi yang dimenangi. Kita menang 21 kerusi Parlimen berbanding 23 sebelum ini, sedangkan Umno menambah daripada 79 kepada 89. Kita tidak boleh mencapai matlamat untuk menggantikan Umno jika kita tidak mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu Islam."

"Kita bukan nak menarik diri daripada PR tetapi kita perlu mengkaji masalah dan kesilapan yang menyebabkan orang Melayu menyokong Umno bukan PAS," kata Nik Amar lagi yang melegakan ramai penyokong PR.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib juga pernah menyuarakan hasrat parti itu untuk mengkaji kerjasama berlandaskan tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR ekoran kemerosotan undi Melayu untuk parti itu.

Tahaluf siyasi tersebut adalah ekoran teguran beberapa pihak kepada PAS kerana didakwa berlembut dalam isu-isu bersabit penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, ketegasan mendirikan agama Islam dan pelaksanaan undang-undang hudud.

Itu di peringkat pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS, di peringkat jawatan Naib Presiden PAS pula, suasana agak serupa dengan pertembungan Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub yang dicabar oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat Datuk Abu Bakar Chik.

Ada yang berpendapat jika Husam, Mahfuz dan Salahuddin menang, maka penglibatan dan kerjasama PAS dalam PR akan berterusan sehingga PRU14 dan bakal memasuki bab pengukuhan seterusnya.

Namun, jika Abu Bakar dan Tuan Ibrahim menang, suasana pastinya sedikit sebanyak berbeza.

Pendapat ini juga tidak salah jika dilihat daripada kenyataan Abu Bakar yang menggambarkan hasratnya 'mengembalikan' PAS pada perjuangan asalnya dengan menolak fahaman liberalisasi.

Abu Bakar berkata : "PAS sebagai sebuah parti politik, PAS seharusnya dipimpin secara konsisten dan tidak dipengaruhi dengan perkara-perkara yang boleh meliberalkan PAS.

"Hala tuju PAS tidak boleh diliberalisasikan," katanya lagi yang pastinya merujuk kepada kerjasama yang terjalin dalam PR terutama bersama DAP.

Tuan Ibrahim pula menyebut mengenai perbincangan usul khas bagi mendesak negeri bawah pentadbiran PR melaksanakan hudud, termasuk Pulau Pinang dan Selangor selain Kelantan.
“Dalam muktamar itu juga kita akan desak negeri yang dikuasai PR melaksanakan undang-undang itu,” ujar Tuan Ibrahim.

Usul ini pastinya menimbulkan bangkangan kuat daripada DAP yang kini menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang yang rata-ratanya terdiri daripada masyarakat Cina.

Apapun, 1,300 perwakilan PAS yang bakal menyertai muktamar di Shah Alam dalam masa hanya beberapa hari lagi yang akan menentukan masa depan hubungan parti itu bersama DAP dalam PR. – 19 November, 2013.

*Penulis adalah ahli seumur hidup DAP sejak 2009 dan juga anak kepada bekas Naib Pengerusi DAP, Allahyarham Ahmad Nor dan melihat slogan "Berani Ubah" mesti bermula dari dalam parti itu sendiri.

Tiada ulasan: