Jumaat, 1 November 2013

Jentera Umno menyerupai PAS untuk tarik pengundi

Saidah Hairan,


KUALA LUMPUR: Politik wang dan mi segera menjadi modal utama BN di samping menyerupai ahli PAS ketika mereka berkempen dari rumah ke rumah khususnya di kawasan pengundi tegar PAS.

Menurut Pengarah Pilihan raya Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi, BN sangat tertekan untuk menang dan merampas Dun Sungai Limau sehingga sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan impian mereka tercapai.

Katanya, ada di kalangan jentera wanita Umno yang sanggup bertudung labuh dan berjubah manakala jentera lelaki pula berkopiah ketika menjalankan kempen di kawasan pengundi PAS.

"Umno BN kelihatan sangat tertekan untuk menang dan merampas Dun Sungai Limau dan sanggup melakukan apa sahaja taktik," tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau yang berada di Dun Sungai Limau sejak sebelum hari penamaan calon berkata, BN juga sanggup menipu pengundi dengan menggunakan kononnya Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abd Razak memberi amanat kepada mereka supaya merampas Sungai Limau.

Amanat tersebut kata beliau digunakan oleh BN untuk menyakinkan pengundi khususnya di kawasan PAS supaya mengundi BN pada 4 November nanti.

"Penipuan ini dilakukan ketika mereka berkempen dari rumah ke rumah," tegasnya.

Selain itu tambah beliau, Umno-BN juga berusaha menempatkan keluarga angkat daripada kalangan orang Umno di rumah pengundi PAS sekaligus memberi peruntukkan bertujuan mendapat sokongan.

Ini merupakan satu cara politik kotor dan tidak bertanggungjawab dengan menggunakan kesusahan rakyat sebagai modal penting untuk terus berkuasa, tegasnya.

Tambah beliau, pelbagai bantuan segera yang bersifat one off diperuntukkan bagi mengelabui mata dan hati rakyat.

Beliau menegaskan, taktik kotor BN itu jauh berbeza dengan PAS yang bersandarkan politik damai iaitu menerangkan serta membimbing rakyat untuk mengenali sikap sebenar Umno BN.

Menurut beliau, PAS seperti biasa berlawan bukan dengan calon BN sahaja tetapi dengan sebuah kerajaan Persekutuan yang lazimnya menggunakan dan memperalatkan semua jabatan dan agensi kerajaan untuk berhadapan dengan PAS.

"Persaingan yang berat sebelah ini meletakkan PAS dalam keadaan yang bukan mudah untuk menang. Insya Allah semua ini tidak pernah mematahkan semangat jentera Muslimat untuk mempertingkatkan program menyantuni rakyat," katanya.

Justeru beliau mengingatkan semua jentera HalWa dan PAS supaya jangan terlalu yakin sehingga jam 5 petang 4 November dan seterusnya hal yang melibatkan pengiraan dan perjumlahan undi.

Tiada ulasan: