Isnin, 11 November 2013

Jangan sampai tiada lagi kebahagiaan dalam beragama

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil,


Pada tahun 2007, saya menulis artikel bertajuk Manhaj Salaf Dan Krisis Keperluan Hati (lihat artikel).

Ketika itu, saya merasakan fenomena “minta dalil” yang muncul secara agresif di dalam masyarakat, adalah satu bentuk ‘rasionalisme dalam beragama’ yang jika tidak diurus dengan baik, akan meresahkan ramai anggota masyarakat. Terutamanya mereka yang tidak berkeupayaan menyertai gelombang tersebut, mereka akan tertekan apabila majlis-majlis ilmu bukan lagi menjadi tempat mereka mendapat ketenangan beragama, sebaliknya medan pertempuran debat antara pendalilan yang berbalas-balas.

Saya menjangkakan, fenomena tersebut akan mencetuskan kemurungan jiwa di kalangan pencinta agama, yang mungkin akan membawa mereka kepada trend seterusnya iaitu daripada RASIONALISM kepada ROMANTICISM.

Romaticism dalam beragama kita, akan muncul dalam bentuk kecenderungan kuat masyarakat untuk mengisi makna keberagamaannya dengan zikir, nasyid, syair, malah wacana-wacana agama juga mesti berbentuk indah, ringan, enak diduduki, dan kurang mendesak peranan minda dalam memproses input agama yang diterima.

Saya bukan ahli nujum.

Saya hanya menjangkakannya dengan melihat kitaran sejarah.

Jika di seberang tembok Vienna, Eropah melihat era pencerahan (Enlightenment) yang tepu dengan RATIONALISM beralih kepada ROMANTICISM pada kurun ke-18. Manakala di tanah air sendiri, ketegangan pertembungan antara gerakan ‘Salafi’ Kadızadeli dengan kumpulan tradisionalis Sufi, memperlihatkan aktiviti ROMANTICISM bertambah, malah tekke dan zaviye Sufi sendiri bertambah pesat.

Inilah mungkin yang sedang masyarakat kita alami. Genre zikir, syair, bacaan burdah mengisi penuh media seperti di TV Al-Hijrah, TV9 dan Radio IKIM, manakala sambutan Maal Hijrah di peringkat Kebangsaan hingga ke surau-surau, ketara terisi dengan kisah-kisah ‘menyentuh hati’ berkaitan sirah Junjungan Mulia Nabi Muhammad sallallahu alayhi wa sallam, berbanding perbincangan yang berbentuk ‘ilmiah’.

Sama ada era RATIONALISM atau ROMANTICISM, kedua-duanya mempunyai pro dan kontra masing-masing, terutamanya apabila masyarakat berlebih-lebihan dalam memaksa genre itu mendominasi masyarakat. Jika keadaan ini berterusan, ia akan beralih kepada trend REALISM yang bersifat agresif.

Secara peribadi, saya melihat bibit-bibit ke arah itu semakin ketara. Anak-anak muda, sama ada mereka begitu komited dengan halaqah-halaqah yang menghidupkan genre ROMANTICISM itu tadi, atau pun sebahagian yang lain pula memerdekakan diri mereka daripada ‘utopia Islamis dan tradisionalis’, menjadi lebih lantang berbicara dalam bahasa isme, hingga ke sosialisme malah komunisme.

Belahan minda ini meruncing hingga pelbagai label terpaksa difikirkan untuk menjelaskan ‘who is who’. Sudah tentu label sedia ada paling pantas dicapai untuk menyerang dan mempertahankan diri:

Sufi vs Wahabi
Khalaf vs Salaf
Kaum Tua vs Kaum Muda
Tradisionalis vs Modernis
Konservatif vs Progresif
Ulama vs Profesional

Dan senarai ini berterusan…

REALISM Eropah menyaksikan ahli falsafah Jerman Friedrich Nietzsche, menekankan bahawa “Tuhan telah mati (Gott ist tot)”.

Apakah bentuk trend keberagamaan anak muda dan masyarakat kita dalam beberapa tahun yang mendatang ini?

Saya kira, kerana itulah para pendakwah disaran oleh misalnya Muhammad Abu al-Fath al-Bayanuni di dalam kitabnya, Al-Madkhal ila ‘Ilm al-Da’wah, bahawa dakwah mesti mengimbangkan dengan baik tiga pendekatan iaitu:

1.Manhaj Emosi
2.Manhaj Rasional
3.Manhaj Pancaindera yakni praktikal

Kegagalan mengimbangi kesemua ini menyebabkan keperluan naluri kemanusiaan menjadi kucar-kacir. Semakin mereka didakwah, semakin mereka gelisah, dan berbalah.

Paling membimbangkan ialah, ia berakhir dengan tiada lagi kebahagiaan dalam beragama!-http://saifulislam.com/

Tiada ulasan: