Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub  
 
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub


KUALA LUMPUR - [Dikemaskini]  Pas menyatakan akan "menoktahkan" isu Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung pembatalan pendaftaran parti itu selepas selesai Muktamar Pas ke-59, pada 20 hingga 24 November ini.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, PR akan mengadakan satu mesyuarat sekaligus Pas akan mengambil kesempatan untuk turut membincangkan perkara itu secara bersemuka bersama pemimpin nombor satu DAP itu.

Menurutnya, melalui pertemuan itu Pas akan meminta penjelasan dan maksud sebenar Karpal berhubung kenyataan tersebut.

"Saya sendiri, nak juga dengar sendiri daripada mulut Karpal mengenai perkara itu apa yang dimaksudkan dengan mengharamkan pertubuhan atau parti politik berasaskan kaum dan agama.

"Kita akan bincang isu dengan Karpal dan bersemuka dengannya dalam Mesyuarat Agung Tahunan PR yang akan diadakan selepas muktamar ini untuk selesaikan isu ini," katanya kepada Sinar Harian Online, ketika satu wawancara khas, di ibu Pejabat Pas, di sini, hari ini.

Tambahnya, tindakan untuk bersemuka dengan pemimpin DAP itu menunjukkan Pas mengambil kira setiap yang dituntut oleh pemimpin di peringkat bawahan seperti gesaan Pemuda Pas.

"Kita pandang serius apa yang digesa dan diperkata di peringkat bawah, jadi kita akan bawa perkara ini ke peringkat tertinggi dan cari penyelesaiannya," ujarnya.

Semalam, media melaporkan Naib Ketua  Pemuda Pas, Raja Ahmad Iskandar telah memberi tempoh lima hari kepada Karpal untuk meminta maaf dan menarik balik kenyataan yang didakwa berhasrat untuk menghapuskan parti politik berasaskan keagamaan.

Raja Ahmad dalam satu kenyataannya yang dipetik dalam laporan Utusan Malaysia menyebut, barisan pemimpin DAP sepatutnya meminta Karpal memohon maaf kepada Pas atas kenyataan kontroversi bertarikh 5 November itu.

Katanya, beliau memperolehi rakaman sidang media Karpal bertarikh 5 November, yang didakwanya berbeza daripada penjelasan oleh pengerusi DAP berkenaan.

“Kami menuntut kepimpinan DAP meminta Karpal maaf kepada Pas dan menarik balik kenyataan terbaharunya tentang tidak perlu diwujudkan parti politik yang diasaskan kepada pertimbangan keagamaan di Malaysia.

“Dan juga mengenai hasrat beliau untuk pada akhirnya menghapuskan secara mutlak dari medan politik Malaysia parti diasaskan kepada pertimbangan keagamaan,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, beliau akan melihat kenyataan terbaru Karpal mengenai perkara itu setelah menerima gesaan sayap parti.

Katanya gesaan Pemuda Pas terhadap Karpal dengan memberi tempoh lima hari itu juga turut mewakili Pas Pusat.

"Saya nak tengok selepas ini apa pula kata Karpal.

"Selepas itu baru saya akan jawab sendiri isu itu

"Itu Pas Pusat gesa pun, mereka wakil kita (Pas Pusat) juga," katanya.