Isnin, 4 November 2013

Isteri Azizan dan Mukhriz tiba serentak di pusat pembuangan undi Bukit Besar


OLEH MD IZWAN

Balu Allahyarham Azizan Razak, Faekah Sheikh Hamzah berjalan ke tempat mengundi untuk membuang undi  di kawasan Sungai Limau. – Gambar  The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 4 November, 2013. 

 Balu Allahyarham Azizan Razak, Faekah Sheikh Hamzah berjalan ke tempat mengundi untuk membuang undi di kawasan Sungai Limau. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli,


Isteri bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Razak, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah dan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir tiba serentak di pusat pembuangan undi Sekolah Kebangsaan Bukit Besar pada 11 pagi ini.

Faekah sejurus tiba singgah di pondok semakan daftar pemilih PAS untuk menyemak namanya sebelum menuju terus ke pusat pembuangan undi di SK Bukit Besar.

Bukit Besar adalah kubu kuat PAS sejak dimenangi mereka pada tahun 1995, serta dianggap deposit tetap setiap kali pilihan raya.


 Dalam pada itu, Mukhriz juga tiba di SK Bukit Besar bersama penyokong Barisan Nasional (BN) sekitar jam 10.30 pagi dan berkunjung ke markas operasi yang tidak jauh daripada pusat pembuangan undi.


Kehadirannya disambut dengan laungan semangat "Hidup BN" oleh para penyokong yang berada di situ.

Beliau yang ditemui menyeru agar para pengundi supaya keluar mengundi awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan serta memberikan semangat kepada perayu undi yang bertugas.

"Saya harap pengundi keluar awal dan lebih ramai lagi yang keluar, ramai yang boleh bantu kemenangan," kata Mukhriz.

Hari ini penduduk Sungai Limau keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat mereka bagi mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah selepas penyandangnya arwah Tan Sri Azizan Razak kembali ke rahmatullah.

Pilihan raya kecil kali ini adalah yang pertama sejak ia dipegang oleh bekas menteri besar Kedah sepenggal itu, masyarakat kampung di sini teruja dan terkejut apabila menjadi tumpuan seluruh negara.

Seramai 27,222 pengundi di Sungai Limau akan membuang undi hari ini, daripada jumlah keseluruhan pengundi, 93% adalah Melayu, 6% Cina manakala selebihnya adalah kaum India dan lain-lain.

Tiada ulasan: