Sabtu, 2 November 2013

Hudud perlu tubuh jawatankuasa teknikal dan pelaksana

MSO

Minggu lepas satu forum 'amal maaruf nahi munkar' yang memfokuskan khusus mengenai hukum hudud diadakan di Kota Bharu Kelantan. Ia dikelolakan sebuah NGO dan diberi kerjasama sepenuhnya oleh kerajaan Kelantan. Forum itu diadakan sempena hari mengingati hudud yang merupakan salah satu program yang terabadi dalam kalender kerajaan Pas Kelantan.

Demo penyebatan (Hiasan).
Matlmat program itu ialah untuk meningati dan menanam semangat serta keazaman bagi melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Hudud adalah cita-cita kerajaan Pas Kelantan yang berterusan dan sudah melewati fasa pertama.

Pada tahun 1993 DUN Kelantan telah meluluskan Kanun Jenayah Syariah (II) yang di dalam terkandung hukum hudud. Kerajaan Kelantan dipercayai merupakan kerajaan negeri pertama di Malaysia yang mempunyai kanun jenayah - Hukum Hudud sepertinya. Malangnya ia tidak dapat dilaksanakan kerana beberapa sebab.


Antara sebab utama ialah kerana wujud percanggahan dengan perlembagaan Persekutuan. Percanggahan itulah yang dijadikan alasan oleh kerajaan Kelantan kenapa hukum hudud tidak dilaksanakan sampai kini walaupun undang-undang sudah diluluskan oleh DUN Kelantan 20 tahun lalu dan sudah melalui empat pilihan raya umum.

Selain dari percanggahan itu, sepucuk surat yang dihantar oleh Mahathir Mohamad yang ketika itu sebagai perdana menteri kepada Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menjadi MB Kelantan juga dijadikan bukti fizikal oleh kerajaan Kelantan dimana hasrat kerajaan Kelantan ditentang oleh Mahathir Mohamad. Amaran di dalam surat itu menakutkan kerajaan Kelantan kononnya kalau dilaksanakan juga akan timbul huru hara menyebabkan kerajaan Kelantan akan tumbang. Surat Mahathir itu juga dijadikan alasan dan sering dijadikan modal politik oleh Pas dalam ceramah-ceramahnya dan ketika mempertahankan ejekan dan persoalan ditimbulkan oleh pihak UBN.

Itulah di antara dua faktor besar yang sering digunakan oleh kerajaan Kelantan atau dirujuk bila mana ada pihak yang mempersoalkan kenapa hukum hudud tidak dilaksanakan di Kelantan. Sebenarnya selain dari hambatan-hambatan itu ada sekawan lagi masalah teknikal atau prasarana untuk melaksanakan hudud masih belum tersedia; seperti pihak penguat-kuasa, polis, pendakwa, hakim, algojo. Begitu juga infranya seperti; penjara, mahkamah dan lain-lain.

Di sini saya tidak mahu memperluaskan persoalan hambatan atau halangan itu, tetapi mahu menyebut dua perkara pokok yang menghalang kepada perlaksanaan hukum berkenaan yang sering dijadikan dalih. Pertamanya mengenai percanggahan dengan perlembagaan Persekutuan itu. Permasalahan itu tidak bererti kalau ia hanya diketahui bercanggah semata-mata tetapi tidak ada ikhtiar disusuli dengan usaha mengatasinya. Percanggahan bermakna ia bukan satu halangan mutlak, seperti mana kereta lekat di dalam selut saja. Sekiranya selut dibuang dan jalan dibersihkan kereta itu akan bergerak.

Dalam soal ini kerajaan Kelantan perlu mengenali pasti sudut-sudut yang bercanggah dan mencari mekanisme untuk mengatasi percanggahan itu. Apakah ia sampai ke tahap tidak boleh dilaksanakan langsung ataupun sememangnya percanggahan itu dijadikan sebab kerana ada perkara-perkara lain yang tidak disediakan tetapi disembunyikan?

Kalau menurut pendapat pakar perlembagaan negara, Abdul Aziz Bari pelaksanaan hukum hudud boleh dilakukan kerana kedudukan hudud itu (syariah) dalam kuasa istimewa kerajaan negeri Kelantan atas tafsiran ia berkaitan agama. Hal ehwal agama termasuk perlaksanaan undang-undang di bawah bidang kuasa agama di mana ia tertakluk dalam kuasa sultan. Berdasar tafsiran itu tidak ada percanggahan dari sudut perlembagaan.

Pun begitu kalau ia bercanggah maka ia perlu dileraikan. Usaha ke arah itu hendaklah dilakukan berterusan dan bukan bermusim. Dalam soal ini mungkin sebuah jawatan kuasa, boleh dikenali dengan Jawatakuasan Teknikal dan Perlaksanaan boleh diwujudkan dengan dianggota oleh kalangan profesinoal, tentera, polis, peguam, hakim, kadi dan sebagainya.

Guna jawatan kuasa ini ialah, antara lain; mengenal pasti masalah-masalah sehubungan denganya, penyediaan prasara dan penguatkuasa, mengenal pasti implikasi dan risiko sosial jika ia dilaksanakan, memikir dan mencari idea memperluaskan publisiti kepada umum. Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab membuat peruntukan (kos) ke arah pelaksanaannya secara komprehensif. Jika kerajaan menghadapi masalah kewangan mungkina tabung khas dikenali Tabung Hudud boleh dilancarkan ataupun sumber dari Tabung Serambi Makkah boleh digunakan untuk tujuan ini.

Jawatankuasa ini boleh dipilih dari kalangan Exco untuk mengetauinya dan sebaik-baiknya kalau MB sendiri mengetuainya. Peruntukan RM1 juta yang diumumkan dalam Bajet Kelantan 2014 yang lalu boleh digunakan untuk memula menggerakkan komiti ini.

Apabila adanya jawatankuasa khas ini usaha ke arah perlaksanaan ini dilihat bersungguh dan menyakinkan orang ramai. Sekiranya perlu demi untuk memberi keyakinan atas hasrat rakyat Kelantan yang didakwa sudah menerima hukum hudud dilaksnaakan atas keyakinan ia adalah wajib, mungkin jawatan kuasa ini juga boleh merangka satu bentuk bagi mengadakan memorandum rakyat Kelantan yang berusia 18 tahun ke atas.

Punggutan suara ini boleh dijadikan modal atau pun bukti akan kesungguhan rakyat Kelantan ingin hukum Allah itu dilaksanakan di bumi mereka.

Berkenaan dengan surat larangan oleh Mahathir Mohamad itu ia juga hendaklah dikaji sejauh mana larangan berlaku dan boleh menjejaskan kerajaan Kelantan. Surat larangan Mahathir itu bersifat peribadi dan merupakan pandangan nasihat beliau yang tentunya berlandaskan motif politik dan dari perspektif latar belakang pendidikannya. Atau apakah surat larangan itu juga dijadikan alasan untuk tidak laksanakan hudud kerana beberapa aspek lain masih belum disediakan yang mana ianya berpunca dari kelemahan dan ketidaksediaan pihak kerajaan sendiri.

Kalau inilah benar, diharap diharap kerajaan Kelantan tidak munafik di dalam soal ini dengan menyalahkan kepada faktor-faktor itu untuk tidak dilaksanakan atau dibiarkan kanun yang diluluskan itu tergantungan kesekian lama. Kerajaan Kelantan harus tegas dalam hal ini sama ada hendak laksanakan atau pun cukup setakat menyediakan kertas undang-undang saja.

Baik soal percanggahan dengan perlembagaan dan surat larangan Mahathir itu kerajaan Kelantan boleh melakukan ujian kaji atau eksprimen ke atasnya. Kerajaan Kelantan perlu mencuba melaksanakan kanun jenayah berkenaan dan lihat sejauh mana tindakan kerajaan Pusat. Apakah kerajaan Pusat akan menyaman kerajaan negeri Kelantan. Kalau ini terjadi elok, pandangan dan keputusan mahkamah akan di perolehi. Jika mahkamah memutuskan ia bercanggah maka percanggahan itu harus diselesaikan dan dalam masa sama ia menjadi bukti diatas 'kegagalan' kerajaan Kelantan selama ini. Pas akan selesa menjadikan perkara itu sebagai alasannya dan Pas tidak akan berhutang dengan rakyat Kelantan khasnya.

Tanpa permasalahan ini sampai ke peringkat mahkamah, tergantung begitu,  kerajaan Kelantan dan Pas tidak boleh sewenangnya mengatakan mereka ada masalah kerana mahkamah tidak pun menyatakan demikian. Makanya kerajaan Kelantan perlu membawa perkara ini (larangan) untuk mendapat deklarasi mahkamah.

Demikian juga dengan surat larangan oleh Mahathir itu. Apakah surat itu masih valid lagi. Mahathir kini sudah tidak menjadi perdana menteri lagi. Mungkin Mohd Najib Razak ada pegangan atau pendirian baru mengenai hudud. Konsep 'wasatiyah'  yang dicanangnya kini mungkin memberi aspirasi kepada Najib untuk memberi laluan kepada Kelantan dan melihat keberkesanan hukum hudud. Boleh jadi.. siapa tahu. Sebab sebagai seorang Islam beriman dengan al-Quran dan al-Hadith Najib juga mempercayai sesuatu yang disebut di dalam kitab suci itu? Beliau juga percaya kepada hari akhirat.

Ahmad Yaakub kena mencuba dan berani untuk mencuba. Beliau jangan setakat berani tetapi harus ada keberanian. Beliau kena menulis surat kepada Najib menyatakan hasrat Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud dan minta pengecualian. Secara teknikal perdana menteri boleh menggunakan kuasa proregatifnya sebagai PM untuk membenarkan Kelantan melaksanakan hukum berkenaan.

Semasa berjumpa dengan Najib nanti Ahmad boleh menjelaskan hasrat rakyat Kelantan yang inginkan hukum hudud dilaksanakan itu dan juga mendakwah Najib akan tanggungjawab sebagai umat Islam melaksanakan hukum Allah. Jangan lupa bawa Exco yang ditugaskan untuk menggerakkan hukum hudud ini sama berjumpa dengan Najib. Biar dia baca dan berceramah mengenai konsep hudud, maslahatnya kepada ummah seperti mana dia ceramah semasa sidang DUN Kelantan baru-baru ini. Jangan hanya biarkan jubahnya menjadi selanuh ekor merak saja.

Lebih afdal lagi Ahmad Yaakub boleh menghadap Sultan Kelantan mohon perkenan mencampuri hal ini. Lagipun bukankah sultan Kelantan dilihat sultan berimej dan mempunyai iltizam tinggi terhadap Islam. Apa lagi soal agama di bawah bidang kuasa baginda. Hubungan rapat dan mesra Ahmad dengan sultan patut digunakan untuk kemaslahatan agama dan ummah dan bukan dijadikan pelaris politik.

InsyaAllah ini boleh dilakukan. Dasar atau pendekatan kerajaan Kelantan dibawah pimpinan Ahmad Yaakub yang ingin mejaringkan kerjasama secara G to G adalah satu ruang yang baik. Dasar dan pendekatan itu boleh dipraktik dengan percubaan untuk melaksanakan hudud ini. Inilah peluang pertama untuk beliau menguji dasarnya dan sejauh mana Umno ikhlas dan responsif di atas perubahan pendekatan kerajaan Kelantan itu.

Tidak ada guna pendekatan atau stail G to G dilaksanakan kalau ia tidak mengubah keadaan. Realisasi hubungan ini tentu bukan setakat Kelantan bersedia menjadi tuan rumah tilawah Quran atau pun Ahmad Yaakub merasmikan majlis bersama Mustapa Mohamed. Sesuatu yang lebih signifiken dari itu perlu dilakukan.

Sementara mengenai forum atau apa-apa acara tentang hudud, seperti diadakan minggu lepas saya rasa ia perlu berganjak daripada skala biasa dengan membentang kertas kerja memberi kefahaman mengenai hudud kepada student dan masyarakat biasa perlu diperluskan skopnya. Misalnya adalah baik juga kalau panel dalam mengisi forum atau seminar berkenaan diambil dari kalangan bukan muslim untuk dilihat pengertian atau bagaimana mereka melihat hudud. Persepsi hukum hudud dari perspektif mereka rasanya lebih afdal dihimpun dan diberi gerak tindak daripada kita terus membaca ayat-ayat mengenai hukum hudud yang kebanyakan kita sebagai orang Islam sudah memahaminya, yang setengah orang sudah membaca dari tingkat empat lagi.

Tiada ulasan: