Balu pengasas kumpulan Al-Arqam yang diharamkan, Hatijah Aam Hatijah Aam dan kira-kira 300 pengikutnya menyertai upacara istitabah (taubat) anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Shah Alam semalam.
  
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.Othman berkata apa yang penting, bukan sahaja mereka mesti bertaubat tetapi semua sistem yang mereka amalkan dalam kelompok Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) mesti berubah kepada sistem arus perdana yang diamalkan di Malaysia.

"Ini termasuklah memastikan anak-anak mereka mengikuti sistem pendidikan yang ada di Malaysia.
  
"Mereka tidak boleh terus menyisihkan diri mereka daripada mengambil bahagian dan bercampur dengan masyarakat Islam di mana mereka berada dan ini semua perlu dilakukan supaya boleh menyakinkan yang mereka benar-benar insaf dan bertaubat," katanya dalam satu kenyataan semalam.
  
Menurut Othman, pihak berkuasa agama sama ada di peringkat persekutuan dan negeri termasuk agensi berkuasa yang lain akan terus memantau Hatijah dan pengikutnya.
  
Beliau berkata pihaknya meminta Hatijah Aam dan semua pengikutnya supaya bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.
  
"Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali sebagaimana mereka pernah menyatakan taubat mereka sebelum ini, namun ia hanyalah retorik dan lakonan semata-mata.
  
"Oleh itu, mereka mestilah memperkemaskan ilmu pengetahuan mereka khususnya berhubung aqidah dengan merujuk kepada pihak yang berautoriti.
  
"Kita berharap dalam majlis istitabah yang diadakan hari ini, mereka akan benar-benar bertaubat," katanya.- Bernama