Jumaat, 15 November 2013

Hala tuju PAS Selangor depani politik negara

Saidah Hairan,
 

SHAH ALAM: PAS Selangor akan memberi tumpuan mengenai hala tuju PAS sebagai parti politik Islam yang kukuh dan berperanan penting dalam mendepani politik arus perdana dalam ijtimak yang akan diadakan, Ahad ini.

Menurut Pesuruhjaya PAS, Dr Abdul Rani Othman, perkara itu perlu ditekankan kepada semua ahli dan pimpinan PAS yang akan menyertai ijtimak itu nanti.

Katanya, ini kerana senario dalam PAS sekarang berlaku tuduhan atau melabel individu atau kumpulan tertentu dengan niat untuk menjatuhkan reputasi pimpinan.

Beliau berkata, sikap melabel pimpinan dengan kelompok tertentu itu sebenarnya hasutan daripada pihak luar tetapi tanpa disedari ahli PAS sendiri yang membawa masuk ke dalam parti.

"Dalam ijtimak nanti kita hendak bagi tahu pimpinan cawangan, kawasan dan negeri supaya jangan bergaduh antara kita kerana ia akan merugikan parti," katanya kepada Harakahdaily.

Tambah beliau, menjelang pemilihan pada Muktamar Tahunan PAS kempen memang boleh dilakukan tetapi biar secara sihat dan jangan ada sikap memburuk-burukkan calon lain.

"Kita tidak boleh halang kempen di facebook walaupun sudah beberapa kali ditegur oleh pimpinan. Ada yang kempen menyerang secara terang-terangan dan ada juga secara lembut tetapi mempunyai agenda tersembunyi," tegasnya.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dijadualkan mentup ijtimak sehari dii Dewan Sivik Petaling Jaya itu yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Mohamad Sabu.

Manakala forum melibatkan ahli panel Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub; Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Khalid Samad dan Ustaz Ahmad Awang.

Tiada ulasan: