Ahad, 3 November 2013

Dakwa amal politik ugutan, DAP seru pengundi Cina Sungai Limau tolak BN

THE MALAYSIAN INSIDER





















DAP hari ini menyeru sejumlah 1,800 pengundi komuniti Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau untuk menolak Barisan Nasional (BN) ketika pilihan raya kecil esok kerana parti itu didakwa mengamalkan politik ancaman, dendam dan diskriminasi.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok (gambar) bagaimanapun menegaskan, pihaknya mengalu-alukan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pendidikan peruntukan sejumlah lebih RM2 juta untuk tiga sekolah rendah jenis kebangsaan di kawasan berkenaan.

"DAP menyambut baik perubahan hati kerajaan BN dalam isu peruntukan bagi sekolah Cina," kata ahli parlimen Seputeh itu dalam kenyataannya di Kuala Lumpur.

 Tegas Teresa, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir telah berkata tidak akan melayan sebarang permohonan daripada sekolah Cina dengan berkata tidak akan meminggirkan sokongan pengikut mereka yang menyokong BN serta populasi majoriti komuniti Melayu di Kedah.

"Ternyata perubahan itu menunjukkan BN membuat 'U-Turn' kerana mahukan 1,800 pengundi Cina memilih mereka," katanya dalam kenyataan tersebut.

Malah, kenyataan Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek bahawa sejumlah RM1 juta untuk 15 pelajar Cina sebagai "ujian besar" untuk komuniti Cina turut menerima tempelak Teresa yang melihat kerajaan BN tidak ikhlas menjaga sekolah Cina.

"Sekiranya BN ikhlas dan memberi layanan sama rata terhadap sekolah Cina, mereka seharusnya memberikan peruntukan berkala dan bukan hanya menjelang pilihan raya," katanya.

"Kerajaan yang adil tidak akan menghukum pengundi dan apa yang dikatakan Soi Lek tiada beza dengan Mukhriz - bantuan kerajaan BN untuk sekolah Cina hanya untuk mendapatkan sokongan mereka," katanya.

Justeru, DAP jelas Teresa menyeru agar pengundi komuniti Cina di Sungai Limau memilih calon PAS Mohd Azam Abdul Samat bagi menghantar mesej jelas mereka tidak termakan dengan amalan politik BN.

"Walaupun kita menyambut baik peruntukan sekolah Cina, kita tidak seharusnya diperbodohkan dengan politik ancaman, dendam dan diskriminasi BN," katanya.

Tiada ulasan: