Isnin, 4 November 2013
Calon PAS antara terawal buang undi di Sungai Limau
Calon PAS, Mohd Azam Abd Samat antara yang terawal membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Limau pagi ini.
Mohd Azam tiba di perkarangan sekolah seawal jam 8 pagi dan bersarapan dengan penyokong sebelum masuk ke pusat membuang undi sekitar jam 8.30 pagi.
"Saya harap pilihan raya kali ini berjalan dengan lancar dan telus, serta proses demokrasi kali ini berjalan dengan baik," kata Mohd Azam semasa ditemui wartawan di luar kawasan sekolah.
Beliau turut menyeru pengundi supaya keluar awal ke pusat membuang undi memandangkan cuaca buruk diramal pada tengahari ini.
Sementara itu, pengundi warga emas antara yang terawal hadir ke pusat mengundi SK Bukit Besar, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan anggota polis sibuk berkawal sekitar kawasan sekolah.
Petugas-petugas SPR juga sibuk membantu pengundi yang tidak dapat berjalan dengan menyediakan kerusi roda serta memapah pengundi masuk ke dalam sekolah.
Dalam pada itu, Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir juga dijadualkan singgah di SK Bukit Besar untuk meninjau proses pilihan raya yang berlangsung di sini.
Kawasan sekitar tenang dan tiada sebarang provokasi tercetus.
Hari ini penduduk Sungai Limau keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat mereka bagi mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah selepas penyandangnya arwah Tan Sri Azizan Razak kembali ke rahmatullah.
PRK kali ini adalah yang pertama sejak 28 tahun ia dipegang oleh bekas menteri besar Kedah sepenggal tersebut, masyarakat kampung di sini teruja dan terkejut apabila menjadi tumpuan seluruh negara.
Seramai 27,222 pengundi di Sungai Limau akan membuang undi hari ini, daripada jumlah keseluruhan pengundi, 93% adalah Melayu, 6% Cina manakala selebihnya adalah kaum India dan lain-lain.
Pengkritik melihat pilihan raya kali ini adalah pertarungan "maruah" bagi PAS mahupun Umno, terutamanya selepas berakhir Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Bagi PAS, kemenangan di Sungai Limau penting untuk menebus maruah mereka selepas gagal bertahan menjadi sebuah kerajaan negeri Kedah.
Bagi Umno pula, PRK kali ini penting untuk menteri besarnya, Mukhriz membuktikan kemampuan dirinya sebagai pemimpin terutamanya selepas tewas dalam pemilihan Umno baru-baru ini.
Selain itu, ia juga ujian litmus untuk melihat sama ada pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad masih relevan ataupun tidak pada PRK kali ini, tambahan ia adalah negeri kelahiran negarawan tersebut.
Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan PAS, Mohd Azam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan