Sejak kempen bermula pada 23 Oktober lalu, BN selaku kerajaan Persekutuan telah menghulurkan 'bantuan' berjumlah sekurang-kurangnya RM6 juta buat pengundi di N20 Sungai Limau.

Sayangnya, taktik tersebut sehingga kini nampaknya masih belum mampu mengubah fikiran sebilangan penduduk tempatan yang masih tegar menyokong PAS terutamanya di kawasan yang dianggap kubu kuat parti itu seperti di Bukit Besar, Guar Chempedak serta Kampung Sungai Limau Dalam.

Tinjauan Malaysiakini di kubu kuat PAS, Kampung Sungai Limau Dalam mendapati penyokong parti itu tetap setia menyokongnya walaupun BN kini memerintah di peringkat negeri.

NONEHashim Abu Hassan (kiri), 75, berkata beliau tetap akan mengundi PAS kerana prinsip asas parti itu yang memperjuangkan Islam.

"Saya mula-mula mengundi saya dah pilih PAS.

"Saya mengaji Islam, jadi dia Islam, kita undi Islamlah," katanya sewaktu ditemui di sebuah kedai kopi di semalam.

Ditanya tentang BN yang mendakwa mereka juga memperjuangkan Islam, Hashim berkata beliau tidak percaya kepada parti itu yang pernah berlaku 'zalim' kepadanya.

Dakwanya, kerajaan 'membeli' tanah-tanah sawah beliau sebelum ini untuk dibuat sekolah dan rumah-rumah guru pada harga yang rendah daripada nilai pasaran.

"Bayar saya RM17,000 sedangkan tanah itu dah harga RM70,000 ke RM80,000. Itu zalimlah," katanya.
 Azam ada 'aura'
NONEIbu kepada dua anak, Nor Azira Abu Bakar (kiri), 38, yang mengusahakan kedai kopi berkata beliau tertarik untuk mengundi calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat kerana 'konsep baru' beliau.

"Bila tengok muka dia, aura dia itu nampak menarik.

"Golongan muda ni pemikiran dia meluas, idea dia meluas sikit, boleh tarik golongan muda," katanya merujuk kepada Azam.

Beliau yang akan mengundi buat kali keempat pada pilihan raya kecil kali ini kelihatannya tidak termakan dengan janji pembangunan BN.

"Di sini sebelum PAS memerintah memang dah ada pembangunan," katanya.

Jelasnya lagi, pengundi-pengundi muda yang menyokong PAS juga sedia maklum bahawa bantuan-bantuan yang dihulurkan BN datangnya daripada duit rakyat yang menyumbang kepada negara tanpa mengira fahaman politik.

NONE"Macam depa cakap, bagi, kita ambil," katanya merujuk kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan persekolahan yang diberikan kerajaan.

Seorang lagi pengundi, Hujaiymi Abu Bakar (kanan), 28, melahirkan kebimbangannya dengan wang yang telah dihulurkan BN setakat ini.

Menurutnya, ia sedikit sebanyak mungkin boleh mempengaruhi pengundi atas pagar serta pengundi Cina.
Undi kaum Cina
"Di sini dengan cara turun duit macam banyak juga.

"Yang saya risaukan akan terpengaruh mungkin pengundi Cina serta yang berada di atas pagar," katanya.

30 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan bantuan sebanyak RM2.2 juta untuk tiga buah sekolah Cina serta tabung pendidikan Cina di Sungai Limau.

Ditanya tentang janji pembangunan yang mahu dibawa BN ke Sungai Limau, Hujaiymi berpendapat kemudahan yang sedia ada sekarang ini sudah mencukupi.

"Kalau bercakap soal pembangunan, yang ada ini pun dah mencukupi," katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, PAS menguasai 13 daripada 19 pusat daerah mengundi di Sungai Limau.

Pas menang di daerah mengundi Matang Buloh, Sungai Dedap, Gelam Tiga, Bukit Choras, Bukit Besar, Simpang Tiga Luar, Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sedaka, Ulu Sedaka, Padang Lumat, Batu Enam Belas dan Kampung Titi Batu.

NONESementara BN pula menang di Simpang Tiga, Selengkoh, Sungai Daun, Dulang Besar, Dulang Kechil dan Sungai Kering.

Pembantu kedai Nurliana Ghazali (kiri), 26, yang ditemui di Dulang Besar mahu melihat pembangunan yang sama di kawasan DUN dalam Parlimen Jerai dibawa ke Sungai Limau.
"Kalau tengok di Jerai, yang berada di bawah BN, jalan dia lagi besar dan orang lagi ramai ke sana," katanya yang bekerja di sebuah kedai elektrik.
Mesra orang muda
Beliau mendakwa turut kecewa dengan pentadbiran PAS sebelum ini yang menurutnya pernah melakukan majlis pecah tanah beberapa kali di tapak yang sama tetapi sehingga kini belum lagi mendirikan sebarang rumah.

"Kali pertama dan kali kedua buat memang ada orang pergi. Kali ketiga buat, memang tak ada orang pergilah," katanya.

NONERakan sekerjanya, Mohd Akmal Abdul Rahman, 24 turut bersetuju dengannya dan menambah, golongan belia di Sungai Limau mungkin akan mengundi BN kerana ketrampilan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahahthir.

"Beliau mesra rakyat dan dekat dengan orang muda.

"Datang sini pun naik motosikal dan pakai kain pelikat sahaja," katanya sambil menambah beliau yakin Mukhriz akan mampu membantu prestasi bola sepak Kedah.

Kerusi dewan undangan negeri Sungai Limau menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara BN dan PAS selepas penyandang, Tan Seri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 September lalu.