Isnin, 18 November 2013

Belum Pun Apa-Apa, Pas Sudah Mahu DiHasan-Alikan





Oleh Shahbudin Husin


Tanpa angin, tanpa ribut, bahkan mungkin tidak ada sesiapa yang mempelawanya pun, secara tiba-tiba saja bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Hasan Ali membayangkan kemungkinan untuk kembali menyertai Pas, parti politik Islam yang telah memecatnya tidak lama dahulu.

Mungkin muktamar dan pemilihan Pas yang bakal berlangsung tidak lama lagi telah membangkitkan kembali ghairahnya terhadap parti itu.

Tetapi keinginannya itu bukan tidak bersyarat, bahkan syaratnya pula seolah-olah beliau lebih besar daripada Pas itu sendiri.

Dalam sidang medianya semalam, Dr Hasan berkata, beliau sedia menimbangkan untuk menyertai semula Pas jika parti itu betul-betul memperjuangkan Islam, memartabatkan Melayu, menjaga kesucian institusi diraja dan Perlembagaan Negara.

"Jika keadaan mengizinkan, ertinya jika perjuangan Pas di landasan betul dengan memperjuangkan Islam, keistimewaan Melayu, institusi Raja dan menghormati peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Negara, saya sedia mempertimbangkannya," tambah beliau lagi.

Mengenai muktamar Pas yang bakal berlangsung tidak lama lagi, beliau berkata, Pas perlu dipimpin oleh golongan ulama agar perjuangannya kembali kepada matlamat penubuhan asalnya yang kini goyah disebabkan wujud golongan Anwarinas yang didakwanya seperti anai-anai yang mahu merosakkan parti itu.

"Saya secara peribadi mahu golongan ulama kembali memimpin Pas - presiden, timbalan presiden, naib presiden daripada kalangan ulama yang mementingkan ilmu dunia dan akhirat dan saya dapati golongan sebegitu masih ada dalam Pas," katanya yang juga Presiden NGO Jati atau jalur tiga.

Dalam pada itu, bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor itu juga berpendapat supaya Pas mengkaji semula kedudukannya dalam Pakatan Rakyat kerana peranan Pas seakan-akan tidak menonjol, lebih-lebih lagi selepas PRU 13 yang lalu.

"Saya harap perkara ini dapat dicerminkan dalam muktamar kali ini dan keputusannya ialah Pas meninggalkan PR," jelasnya lagi.

Melihat kenyataan beliau ini, rasanya ramai yang geleng kepala dengannya. Beliau seperti gila talak dengan Pas dan dalam masa yang sama ingin mengajar Pas cara berpolitik secara Islam yang sebenarnya. Terlihat juga seperti beliau sedang memasukkan jarum agar golongan bukan ulama disingkirkan dalam pemilihan ini. Jika ingin kembali kepada Pas tetapi belum apa-apa sudah meletakkan pelbagai syarat dan kehendak, rasanya ini bukanlah cara yang betul.

Memang diketahui sejak dipecat daripada Pas, Dr Hasan mempunyai kecenderungan fitrah dengan UMNO dan BN. Beliau yang lebih dikenali sebagai pakar motivasi sebelum menceburkan diri dalam politik, bukan saja menentang golongan bukan ulama dalam Pas, bahkan berkali-kali meminta parti itu keluar dari PR, selain kerap juga menyerang PKR dan DAP yang merupakan rakan gabungan Pas dalam PR.

Setelah dipecat, beliau tidak menyertai UMNO walaupun banyak pandangannya lebih UMNO daripada pemimpin UMNO sendiri, sebaliknya menubuhkan Jati yang dilihat sebagai sebuah NGO yang mesra dan rapat dengan UMNO, kerajaan dan Perdana Menteri.

Dengan tidak menyertai mana-mana parti mungkin membuktikan jiwa tebalnya masih dengan Pas. Cinta dan kasihnya terhadap Pas barangkali tidak dapat diganti mana-mana parti lain. Tidak salah beliau ingin kembali menyertai Pas tetapi meletakkan pelbagai syarat dan mahukan itu dan ini sebagai syarat lainnya, barangkali agak keterlaluan.

Seorang pejuang tidak melakukan demikian. Mereka akan masuk dulu dan kemudian berusaha merubahnya berdasarkan keyakinan dan kekuatan yang dimiliki. Dr Hasan tidak sewajarnya mahu "menghasan-alikan" Pas sebelum pun beliau menyertai parti itu.

Jika benar beliau seorang hebat dan pejuang yang berpengaruh, masuklah kembali dalam Pas dan kemudian melalui kekuatan yang ada, ubahlah parti itu dan "hasan-alikanlah" Pas sebagaimana kehendaknya. Tetapi sebelum itu, beliau mestilah "memPaskan" dirinya terlebih dahulu.

Tindakan beliau mempersoalkan arah tuju perjuangan Pas dan mempertikaikan kedudukannya dalam PR hanya seolah-olah memperkecilkan kepimpinan Pas yang bukan saja ada presiden, timbalan presiden dan naib presiden tetapi juga mempunyai dewan ulama, majlis syura serta ramai golongan agawaman yang berpengetahuan tinggi. Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat pula begitu dihormati dan disanjung kerana ketinggian ilmu agamanya.

Tidak guna beliau meroyan di luar dan bercakap macam-macam tentang Pas kerana lagi banyak bercakap, lagi terserlah gila talaknya itu. Jika betul mahu memperbetulkan Pas yang dirasakannya sudah menyimpang daripada perjuangan asalnya, kembalilah dengan cara baik serta tanpa syarat dan ubahnya daripada dalam.

Jika tidak, jagalah Jati baik-baik sebagaimana "kembar siamnya" Ibrahim Ali menjaga Perkasa.http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Tiada ulasan: