Selasa, 19 November 2013

Belanjawan 2014: Selangor belanja RM2.28b rizab simpanan

Harakahdaily,
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri akan membelanjakan RM2.28 bilion rizab simpanan bagi perbelanjaan pembangunan dan pengurusan pada 2014.

Daripada jumlah itu, katanya, sejumlah RM1.225 bilion diperuntuk kepada perbelanjaan mengurus yang meliputi 53.7 peratus manakala bakinya RM1.055 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Beliau berkata, sebanyak RM430 juta dibelanja bagi membiayai pembangunan enam inisitif melibatkan kepentingan rakyat.

Antaranya, jelas beliau RM150 juta bagi pembinaan Jambatan Ketiga Klang, pembinaan rumah mampu milik (RM100 juta) dan pembinaan beberapa bangunan sekolah (RM50 juta).

“Selain itu, sejumlah RM50 juta dari rizab simpnanan digunakan untuk pembangunan usahawan dan pemerkasaan belia, pembangunan desa (RM50 juta dan pemberdayaan wanita (RM30 juta),” katanya.

Abdul Khalid menyatakan demikian ketika membentangkan Belanjawan Berimbang Negeri 2014 yang bertema Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat di Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, setakat 31 Oktober lalu, Kumpulan Wang Disatukan Selangor dalam bentuk tunai dan pelaburan ialah RM2,712.85 juta, sekaligus menandakan rizab negeri berada pada paras tertinggi sejak 1998.

Katanya, mungkin kerana kurang arif mengenai selok-belok pengurusan kewangan dan fiskal, wujud suara-suara yang mengecam atau paling tidak, merungut tentang kecenderungan kerajaan mengumpul rizab.

“Saya tegaskan pembinaan rizab beserta perbelanjaan berhemah mengikut konsep keutamaan yang betul merupakan paksi disiplin fiskal dan sebahagian rangka pengurusan kewangan dan fiskal jangka panjang,” katanya.

Tiada ulasan: