Rabu, 13 November 2013

Bebaskan orang Melayu daripada racun Umno



Oleh Zulkifli Sulong


Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yakin parti Islam itu dan Pakatan Rakyat (PR) akan lebih berjaya dalam pilihan raya umum akan datang jika mampu memecahkan tembok dan membuang racun yang ditanam Umno ke dalam pemikiran orang Melayu.

Pengerusi DHPP, Hu Pang Chaw, berkata “racun” itu yang menyebabkan majoriti orang Melayu masih menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Pertamanya, Umno menanamkan racum kepada orang Melayu bahawa hanya Umno penyelamat mereka.

"Keduanya, orang Melayu diracuni Umno bahawa jika Pakatan menang, DAP akan memastikan Cina jadi perdana menteri.  Agama rasmi negara akan ditukar kepada Kristian dan Melayu akan dihalau daripada bumi sendiri seperti berlaku kepada Melayu Pulau Pinang sekarang," katanya dalam satu temuramah bersama The Malaysian Insider, baru-baru ini.

Beliau berkata, menjadi tugas semua peringkat jentera PAS dan PR untuk membuang segala racun yang ditanam Umno ini jika mereka ingin berjaya.

Katanya, PAS terlalu banyak menekankan soal akidah di kalangan orang Melayu melalui ceramah dan kuliah mereka tetapi kurang menjelaskan bagaimana ekonomi, infrastruktur, pertanian dan pendidikan perlu dipertingkat.

Sehubungan itu, beliau yang aktif di Johor selepas bertanding di kerusi Parlimen Air Hitam mewakili PAS dalam pilihan raya umum lalu berkata, akan berusaha ke arah membuang racun yang dimasukkan Umno ke dalam minda orang Melayu di Johor.

Dengan kerjasama Pemuda PAS Johor, Hu merancang tiga program dan projek lawatan untuk Johor dan ia membabitkan program berkaitan rekreasi dan kebajikan, kursus dan latihan serta pembangunan ekonomi.

Katanya, bagi membuang racun Umno daripada minda orang Melayu khasnya di Johor, satu program lawatan ke Pulau Pinang akan diadakan.

"Kami merancang sekurang-kurangnya 2,000 orang Melayu Johor dari semua 26 kawasan Parlimen dibawa melawat Pulau Pinang yang ditadbir DAP menjelang pilihan raya umum ke-14 akan datang," katanya.

Beliau mengambil idea ini daripada PAS yang berjaya membersihkan imejnya dengan membawa orang Cina dari seluruh negara melawat Kelantan.

Selepas PAS memerintah Kelantan pada 1990, MCA menyebarkan pelbagai fitnah terhadap PAS dengan menyebarkan bagaimana orang Cina dilayan oleh kerajaan PAS.

Untuk mendapatkan gambaran yang sebenar, pelbagai rombongan orang Cina dihantar ke Kelantan untuk melihat sendiri kedudukan masyarakat Cina di negeri itu.

Hasilnya, apabila mereka pulang ke tempat masing-masing, MCA didakwa memfitnah PAS dan berakhir dengan penolakan orang Cina terhadap MCA, parti terbesar orang Cina sebelum ini.

"Kita akan ulangi kaedah yang sama. Kita akan bawa orang Melayu Johor ke Pulau Pinang," katanya.

Di sana, katanya, mereka akan dibawa menunaikan solat di masjid negeri dan surau, bertemu dengan majlis agama Pulau Pinang dan seterusnya berdialog dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng atau pimpinan negeri yang lain.

"Ada tiga fitnah utama yang diracun Umno kepada orang Melayu khasnya di Johor.  Azan disekat di Pulau Pinang, orang Melayu dihalau dan masjid pula dirobohkan.

"Kita harap mereka akan mendengar sendiri suara azan berkumandang di Pulau Pinang, masjidnya yang gagah berdiri dan bajet besar yang diberikan kerajaan negeri kepada Islam di Pulau Pinang," katanya.

Beliau yakin, 2,000 orang Melayu ini jika dilatih dengan baik selepas itu akan menjadi tenaga penting PAS dan PR untuk menukar minda orang Melayu di Johor.

Hu, 58, bekas wartawan dan guru adalah Pengerusi DHPP yang pertama selepas ia ditubuhkan tiga tahun lalu.

Beliau yang mempunyai empat anak memberikan tumpuan sepenuh masa kepada PAS walaupun pernah menjadi Setiausaha Pemuda MCA Kelantan pada 1980-an.

Berasal dari Kedah, Hu mula masuk ke Kelantan sebagai guru Kementerian Pelajaran selama 18 tahun dan menjadi wartawan akhbar Cina pada 1994 hingga 1999 sebelum aktif sepenuhnya menyokong PAS hingga sekarang.M/Insider

Tiada ulasan: