Jumaat, 10 Mei 2013

Sedia terima khidmat Husam

ROSMIZA KASIM

Mohd Amar
Mohd Amar
 
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bersedia mempertimbangkan bagi memberi peluang kepada Pesuruhjaya Pas II Negeri, Datuk Husam Musa meneruskan khidmat dalam saf kepimpinan.

Tanpa menyebut mana-mana posisinya, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, perkara tersebut akan dibincangkan di peringkat parti kerana kepimpinan tidak pernah menolak khidmat bekas exco kanan kerajaan negeri itu.

“Husam yang juga Naib Presiden Pas itu sebenarnya mempunyai idea yang bagus. Ini boleh mengukuhkan kerajaan dalam bentuk yang berbeza.

“Kita tidak menolak Datuk Husam. Kita terpaksa terimalah keputusan Husam tidak mendapat perkenan daripada Istana Kelantan untuk dilantik sebagai exco kerajaan negeri,” katanya kepada media semalam selepas menghadiri Mesyuarat Perhubungan Pas di JKR 10.

Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas III negeri berkata demikian mengulas situasi yang menimbulkan perbagai persepsi selepas Husam tidak dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Menjawab mengenai dakwaan Husam bahawa tiada mesyuarat yang diadakan untuk membincangkan berkaitan pertukaran menteri besar dan pembentukan kerajaan baru, Mohd Amar berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat pada pagi 6 Mei lalu di rumah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat namun, beliau tidak hadir.

Mengulas cadangan yang ditekan oleh Husam pula termasuk pemberian kawasan perlombongan seelok-eloknya dilakukan secara tender terbuka dan perjalanan Ladang Rakyat, Mohd Amar menegaskan perkara tersebut sudah lama dibincangkan malah ia akan diberi perhatian.

“Benda yang baik kita sentiasa memberikan perhatian dan apa yang disebut sudah dibincangkan ketika beliau menjadi exco lagi. Mungkin sekarang Husam mahu memberi penekanan supaya dilihat secara lebih mendalam,” katanya.

Ditanya, sama ada konflik yang dilalui oleh Husam ini dikaitkan dengan wujudkan pergeseran hubungan antara bekas Exco tersebut bersama kepimpinan sedia ada, Mohd Amar menjelaskan itu adalah tafsiran daripada pihak luar sahaja.

Mohd Amar berkata, walaupun Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti tersebut tidak dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri, namun tuntutan berkenaan akan diteruskan kerana ia adalah perjuangan kerajaan dan rakyat Kelantan.

Berkaitan penglibatan 12 anggota Barisan Nasional (BN) yang akan turut sama ketika sesi Sidang Dun nanti, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah, Pelaburan dan Sumber Asli itu juga mengharapkan wakil parti lawan dapat membawa peranan yang konstruktif  membantu kerajaan untuk kebaikan rakyat dan minta bersikap profesional.

“Kita juga menyambut baik penglibatan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed kali ini dan mengharapkan kritikan yang membina daripada beliau,” katanya.

Tiada ulasan: