Khamis, 9 Mei 2013

PRU13: Najibnomic Terus Berkuasa

Syahir Sulaiman,


“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah al-A’raf : ayat 96)

BN memenangi kerusi, PR memenangi undi

Pada tarikh 5 Mei 2013, sejumlah 11.2 juta (84.84%) daripada 13.2 juta pemilih berdaftar telah menunaikan kewajipan sebagai pengundi dalam PRU13, yang berakhir dengan Barisan Nasional (BN) diisytiharkan berjaya mempertahankan kuasa di peringkat Persekutuan dengan majoriti yang berkurangan berbanding pada PRU12 yang lalu.

Keputusan PRU13, pilihan raya paling sengit dalam sejarah politik tanah air, menyaksikan BN memenangi 133 (60%) daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan, jatuh daripada 140 (63%) kerusi yang dimenangi dalam PRU12. Pakatan Rakyat (PR) pula berjaya memenangi 89 (40%) kerusi parlimen; DAP-38, PKR-30 dan PAS-21; rekod tertinggi yang dicapai oleh pembangkang dalam sejarah pilihan raya Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan.

Peratusan keluar mengundi pada PRU13 di peringkat nasional mahupun di peringkat negeri turut mencatatkan rekod baru apabila melepasi paras 84% berbanding rekod tertinggi sebelum ini iaitu 78.9% (PRU 1964), di samping turut menyaksikan pertambahan pengundi baru yang tertinggi (2.4 juta) berbanding pertambahan tidak melebihi 1 juta pada PRU sebelum ini.

Walaupun BN (133) mengatasi PR (89) pada kedudukan kerusi parlimen, iaitu penguasaan 60% daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen, PR buat pertama kali berjaya menafikan penguasaan undi popular yang dimenangi BN apabila memperolehi 51.3% daripada keseluruhan undi yang diterima berbanding BN yang hanya menerima 48.7% undi, sebagaimana dibuktikan daripada majoriti kemenangan yang tipis bagi pihak Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat di beberapa kerusi parlimen dan negeri.

Ketidakseimbangan penguasaan kerusi dan undi ini bakal mencorak halatuju dasar dan polisi negara dalam tempoh 5 tahun mendatang, khususnya dalam usaha mempertingkatkan tahap sosio-ekonomi rakyat dan memperkukuhkan daya saing ekonomi negara.

Kesinambungan dasar Umno-nomic

Keputusan PRU13 yang bersifat ‘status-quo’ bermakna segala dasar, polisi dan program ekonomi di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-6 akan terus dilaksanakan.

Beberapa penganalisis ekonomi dan pelaburan menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan terus berkembang pada kadar 5.0% - 6.0% bagi tahun 2013 dan 2014, kesan daripada kelangsungan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi, sentimen pelabur yang meningkat serta pengukuhan pendapatan dan permintaan domestik. Namun, dengan margin kemenangan BN yang kecil, beberapa dasar ekonomi yang ‘tidak popular’ dijangkakan tidak mampu untuk dilaksanakan dengan mudah, khususnya pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Program Rasionalisasi Subsidi (PRS) yang tertangguh sejak 2011 akibat pilihan raya, pemberian konsesi tol yang baru dan agihan kontrak projek mega tanpa tender terbuka yang bakal mengundang polemik di kalangan rakyat, di samping akan memberi impak kepada peningkatan kadar inflasi pada paras 2.0% - 3.0% bagi tahun 2013 dan 2014.

Implikasi ekonomi pasca PRU13 secara lebih terperinci dapat diperhatikan dalam beberapa aspek berikut:

1. Timbal-balik dana politik – Umum dapat melihat bagaimana BN, dan juga PR, berbelanja besar sebelum dan sepanjang tempoh berkempen pilihan raya, dengan dana yang dibiayai daripada pelbagai sumber. Aktiviti pembiayaan dana kempen (political funding) di Malaysia adalah tidak telus dan kurang pemantauan, menyebabkan sukar untuk rakyat menilai secara terbuka jumlah dan ganjaran yang diperoleh oleh pihak yang terlibat. Dengan jumlah 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN yang dipertandingkan, jumlah dana yang dilaburkan oleh pihak yang menang mahupun yang kalah sepanjang tempoh berkempen boleh mencecah anggaran minima sekitar RM1 juta – RM5 juta untuk setiap kawasan, mencecah RM1 bilion secara agregat di seluruh negara. Jumlah pembiayaan ini pastinya menuntut kepada timbal-balik (payback) yang akan ‘dilunaskan’ melalui pemberian tender dan kontrak kerajaan secara tidak telus kepada kontraktor-kontraktor yang diragui, di samping nilai tender yang tinggi pada kadar yang tidak munasabah. Ini pastinya menuntut kepada akauntabiliti dan tranparensi oleh calon-calon yang bertanding, terutamanya bagi mereka yang menang dan memegang jawatan utama di di peringkat kerajaan Persekutuan, Negeri dan PBT serta syarikat-syarikat GLC.

2. Subsidi, GST dan Inflasi – Dianggarkan peruntukan subsidi bagi tahun 2013 adalah RM37.6 bilion, sebahagian besarnya untuk subsidi minyak (RM20 bil) dan pendidikan (RM6 bil). Manifesto BN yang bersifat populis tidak menyatakan secara terbuka tentang subsidi (kenaikan harga minyak, gula dsb), cukai barangan dan perkhidmatan (GST), saman AES dan seumpamanya. Rakyat boleh menjangkakan kerajaan akan mengumumkan pelaksanaan program rasionalisasi subsidi (pengurangan subsidi) yang akan memberi kesan kepada kenaikan harga minyak RON95 sekitar 30 sen – 50 sen dalam tahun ini, seterusnya memberi impak kepada kenaikan harga barangan yang lain. Pembentangan bajet 2014 pada Oktober tahun ini dijangka akan mengumumkan kerangka asas pelaksanaan GST, dengan anggaran 5%-6% kadar cukai untuk setiap perbelanjaan. Dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM2,000 sebulan, kadar cukai GST yang perlu dibayar adalah RM100 sebulan, atau RM1,200 setahun, bersamaan dengan nilai BR1M yang akan diteruskan dalam tempoh 5 tahun lagi.

3. Defisit & Hutang Negara – Kelangsungan kuasa kerajaan BN bermakna penerusan projek dan program yang telah dan akan diumumkan oleh Perdana Menteri yang menelan belanja berbilion ringgit, antaranya projek-projek di bawah ETP/GTP, pembangunan koridor-koridor (Iskandar Malaysia, ECER, NCER, SCORE dll), projek minyak dan gas (Petronas, Pengerang, SapuraKencana dll), projek MRT dan LRT di Lembah Klang, projek Keretapi Laju KL-Singapura, projek naiktaraf Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur, pembinaan Lebuhraya Pantai Barat dan Lebuhraya Pan-Borneo, di samping projek-projek perbekalan air di Lembah Klang, Selangor dan Kelantan. Ditambah pula dengan saiz kabinet dan kos operasi kerajaan yang sentiasa meningkat, ini pastinya memberi kesan negatif kepada usaha kerajaan untuk mencapai pengurangan kadar defisit belanjawan 3.0% pada tahun 2015 di samping mengawal kadar hutang kerajaan yamg terus meningkat untuk tidak melepasi paras 55% nisbah hutang kepada KDNK.

4. Kos Sara Hidup & Hutang Isi Rumah – Nisbah hutang isi rumah kepada KDNK telah meningkat daripada 77% pada tahun 2011 kepada 80% pada tahun 2012, dan dijangkakan akan terus meningkat. Ini bermakna secara purata setiap rakyat menghabiskan lebih separuh daripada pendapatan bulanan untuk melangsaikan hutang, khususnya ansuran pembiayaan perumahan (harga rumah yang tinggi), pembiayaan kenderaan (kereta mahal akibat duti eksais 100%), hutang kad kredit, hutang pajak-gadai dan seumpamanya. Langkah kerajaan untuk menaikkan nilai BR1M kepada RM1,200 di samping pemberian bantuan dan elaun yang pelbagai dilihat tidak mampu menyelesaikan punca utama peningkatan kos sara hidup rakyat. Ini kerana rakyat akan terus terbeban dengan kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian, dengan anggaran penambahan kos RM100-RM200 sebulan. Rakyat pastinya ternanti-nanti pengumuman kerajaan untuk menurunkan harga kereta sebanyak 20%-30% dalam bajet 2014, seterusnya dapat memiliki lebih 1 juta rumah mampu milik yang dijanjikan oleh kerajaan.

Bersama kita saksikan sejauh mana Najibnomic akan terus berkuasa, tatkala kesedaran rakyat, khususnya generasi muda kini semakin meningkat untuk melihat model urustadbir ekonomi negara yang lebih telus, adil dan berkebajikan, demi membawa kebaikan kepada negara dan rakyat.

Syahir Sulaiman adalah Pengarah Kajian Polisi, Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: