Rabu, 15 Mei 2013

Poster ibadat ‘Allah’ hanya untuk Kristian, kata NECF

Oleh Debra Chong
Penolong Pengarang Berita

KUALA LUMPUR— Kumpulan gereja evangelis Malaysia kelihatan bingung dengan kenyataan melukakan hati oleh kumpulan peguam Islam ke atas kempen ibadat Facebook mereka yang mengandungi perkataan “Allah”, mengatakan ia dikhususkan hanya kepada penganut Kristian sahaja dan merupakan mesej untuk menyebarkan kasih sayang kepada negara. 
 
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) semalam menuduh Pengikut Kristian Evangelikal Kebangsaan (NECF) melakukan “jenayah” kekufuran terhadap Islam dengan menyalahgunakan nama tuhan Islam untuk tujuan mereka, walaupun pertikaian itu sedang didengar di Mahkamah Rayuan.

“Projek Malaysia MyHome bertujuan hanya untuk Kristian dan digunakan untuk menyebarkan kasih sayang dan rasa ambil berat terhadap negara,” kata setiausaha agung NECF Pastor Eugene Yapp semalam, menjawab kenyataan PPMM yang menggesa pihak berkuasa Islam untuk bertindak terhadap gereja itu.

 “Tindakan yang dicadangkan untuk berdoa dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan adalah ungkapan yang biasa dan luahan keimanan biasa di kalangan penganut semua agama.”

Beliau menegaskan NECF menggunakan perkataan “Allah” hanya di poster kempen versi Bahasa Melayu untuk merangkumi jemaah Bumiputera di Malaysia Timur, yang membentuk kira-kira 60 peratus daripada jumlah penduduk Kristian di negara ini dan lebih biasa dengan bahasa kebangsaan.

Jumlah populasi Kristian Malaysia adalah 10 peratus daripada 28 juta penduduk negara dengan satu pertiga daripada penganutnya di Sabah dan lebih separuh di Sarawak, di Borneo Malaysia yang mengikut agama itu.

Akan tetapi agama dan kaum dalam negara yang mempunyai 60 peratus yang didefinasikan oleh Perlembagaan sebagai Melayu dan Islam merupakan isu panas.

Keganasan tercetus menyebabkan beberapa rumah ibadat diserang selepas Mahkamah Tinggi mengatakan Gereja Katolik mempunyai hak untuk memanggil tuhan mereka sebagai “Allah”, kerana perkataan Arab itu bukan hak eksklusif Islam, sepertimana yang dipercayai oleh majoriti umat Islam Malaysia.

Ketegangan kekal sehingga hari ini walaupun kemarahan sudah mula reda.

“Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) 1988 tidak merangkumi hak seseorang untuk menganuti dan mengamalkan agamanya, termasuk dalam konteks doa dan tindakan yang baik untuk negara dan rakyat,” kata Yapp, sebagai tindak balas kepada rujukan PPMM, undang-undang Islam sama digunakan untuk menghujahkan kes mereka.

Beliau juga membangkitkan hak untuk menganut, mengamalkan dan menguruskan kepercayaan seseorang adalah hak asas yang dijamin oleh Artikel 11, Perlembagaan Persekutuan terhadap semua rakyat.

Dalam laman Facebook mereka, NECF telah menggesa dalam bahasa kebangsaan, semua gereja dan Karistian untuk “merangkul, mengasihi dan memberkati negara ini dengan hadirat dengan kuasa Allah”.

Mesej sama juga turut disiarkan dalam bahasa Inggeris dan Cina.

“Adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana pihak yang secara sengaja dan berterusan menggunakan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain yang berakar-umbi dari agama Islam dalam konteks agama bukan Islam bagi sebarang tujuan,” kata presiden PPMM Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan penyebaran satu poster di laman sosial Facebook yang dipercayai melanggar peruntukan-peruntukan di dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

“Poster pihak NECF yang jelas menyalahgunakan nama suci Allah ternyata merupakan suatu tindakan yang bersifat jenayah dan melanggar JADUAL (Seksyen 9) BAHAGIAN I Enakmen tersebut yang melarang penggunaan nama Allah berserta istilah-istilah Islam yang lain oleh penganut agama bukan Islam,” tegas Zainul dalam kenyataannya.

“PPMM menggesa supaya (Badan Bukan Kerajaan Agama Islam) NGI atau mana-mana individu di kalangan umat Islam untuk tampil membuat laporan polis bagi siasatan dimulakan.

“Pihak Jabatan Agama Islam negeri-negeri juga boleh membuat laporan polis bagi siasatan dan tindakan sewajarnya dibuat terhadap pihak yang melakukan pelanggaran enakmen tersebut.”

Tiada ulasan: