Sabtu, 25 Mei 2013

Perwakilan cadang pengerusi SPR pula berhijrah



 
KONGRES PKR Seorang perwakilan di Kongres Nasional PKR ke-9 mencadangkan agar pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalan, Datuk Wan Ahmad Wan Omar agar berhijrah ke negara lain ekoran penipuan yang didakwa berlaku dalam pilihan raya 5 Mei.

Wakil Kedah, Azman Nasrudin antara lainnya membangkitkan isu dakwat kekal, yang didapati tanggal dengan mudah dalam beberapa kejadian pada hari pengundian tersebut.

Azman yang juga merupakan ADUN Lunas dalam ucapannya turut mencadangkan agara pegawai di pusat mengundi terdiri daripada individu yang tidak berpihak pada mana-mana parti serta telah dipersetujui bersama oleh Pakatan dan BN.

"Kita minta supaya ketua SPR dan timbalannya untuk letak jawatan dan keluar dari negara ini.

"Mereka kata dah laksanakan permintaan pembangkang untuk buat dakwat kekal, kepala otak dia," katanya dengan penuh bersemangat semasa membentangkan satu usul dalam kongres di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab saranan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga merupakan naib presiden Umno, agar golongan yang enggan menerima sistem pilihan raya Malaysia berhijrah ke negara yang menjalankan pilihan raya mengikut kaedah yang digemari.

Zahid yang baru dilantik mengetuai kementerian dalam negeri mensasarkan saranan tersebut kepada golongan pengikut parti politik membantah keputusan pilihan raya umum ke-13.

Tiada ulasan: