SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Pendidikan yang baru dilantik Datuk
Mary Yap Kain Ching hari ini berkata beliau komited dalam memastikan
Kementerian Pendidikan bebas daripada pengaruh politik.
Beliau berkata komitmen sedemikian penting kerana beliau melihat
pengaruh negatif secara meluas terhadap generasi muda agar mereka tidak
menghargai usaha yang telah dijalankan kerajaan, adalah benar-benar
membimbangkan.
"Sebagai pendidik dan timbalan menteri, saya tidak suka membawa masuk
politik ke dalam pendidikan kerana kami di sini untuk mendidik generasi
muda.
"Ia membimbangkan saya, apabila mendapati budaya mempengaruhi generasi
muda untuk tidak menghargai apa yang kerajaan lakukan, ia benar-benar
membimbangkan dan saya tidak mahu mengulas tentang itu," jawab beliau
ketika ditanya sama ada beliau menganggap dirinya sebagai pemimpin kaum
Cina untuk Barisan Nasional (BN) dan pandangan beliau mengenai laporan
Malay Mail baru-baru ini yang bertanya "What More The Chinese Want".
Yap ditemui selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin yang juga Menteri Pendidikan merasmikan Persidangan dan Pameran
Antarabangsa Pendidikan Digital Education Show Asia 2013, di sini hari
ini.
Menjawab kepada satu soalan, sama ada beliau menganggapnya dirinya
sebagai mewakili masyarakat Cina di dalam Kabinet, Yap berkata soalan
sedemikian telah beberapa kali diajukan kepada beliau, sejak dilantik
sebagai timbalan menteri.
"Saya telah bekerja di Kementerian Pendidikan sejak 36 tahun lalu,
berinteraksi dengan semua kaum. Saya tidak pernah menganggap diri saya
sebagai Cina tetapi saya seorang rakyat Malaysia.
"Saya rasa ia tanggapan konsep 1Malaysia. Apabila anda bercakap tentang
mewakili kaum Cina, apa-apa isu berkaitan pendidikan Cina, anda bawakan
kepada saya, ia adalah sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab saya
untuk mendalaminya," tambah beliau.
Mengenai beliau tidak boleh berbahasa Mandarin, Yap berpendapat ia bukanlah satu isu.
"Kalau saya tidak fasih (Bahasa Mandarin), ini tidak bermakna saya
tidak faham tentang pendidikan Cina atau latar belakangnya. Maklumat
berkaitan sistem pendidikan Cina juga ada dalam Bahasa Inggeris atau
dalam Bahasa Malaysia. Dan saya boleh baca mengenainya. Saya pandai
Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan saya ada pegawai-pegawai yang
berpengalaman untuk membantu saya," katanya.
Tambah Yap, pegawainya akan berperanan memberi nasihat dan membaca
akhbar Cina serta menyampaikan segala maklumat mengenai apa yang
dilaporkan.
"Ramai pemimpin di dunia yang tidak fasih Bahasa Inggeris tapi kerana
mereka ada satu pasukan yang kuat dan penterjemah mereka boleh memimpin
negara mereka dengan begitu berkesan dengan pembangunan dan kemajuan
yang amat membanggakan.
"Jadi isu saya tidak boleh berbahasa Cina tidak sepatutnya menjadi satu
isu dan kalau masih dijadikan isu, ini sangat tidak adil," kata Yap. -
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan