Rabu, 15 Mei 2013

Karpal buat laporan polis ke atas bekas hakim Mahkamah Rayuan, dakwa cuba menghasut

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR— Karpal Singh membuat satu laporan polis hari ini ke atas bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah kerana mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan hujung minggu lalu.

Dalam sidang media di luar balai polis Tun HS Lee di sini, pengerusi DAP itu mengecam Mohd Noor sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab dan mahu Pejabat Peguam Negara  mengambil tindakan tegas.

“Kenyataan oleh Mohd Noor yang memberi amaran masyarakat Cina supaya bersiap sedia menerima tindak balas daripada orang Melayu adalah satu hasutan,” kata beliau kepada pemberita merujuk kepada laporan polis dibuatnya.

“Saya melakukan ini adalah kerana kepentingan orang awam dan saya harap AG akan mengambil tindakan cepat kerana perkara ini hanya memberikan kesan tidak baik kepada Negara.”

Walau bagaimanapun, Karpal mengakui terkejut dengan kenyataan Mohd Noor kerana bekas hakim tersebut adalah seorang yang adil dan baik sepanjang mengenalinya.

“Saya perlu kata beliau adalah seorang baik dan hakim yang adil semasa di mahkamah.

“Malah, saya sendiri terkejut apabila beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian,” tambahnya lagi.

Karpal Singh: Terkejut, kerana Mohd Noor “seorang adil dan baik sepanjang mengenalinya”. — Gambar failMenurut Karpal lagi, kenyataan Mohd Noor jelas menyalahi undang-undang dibawah seksyen 4 (1) Akta Hasutan, 1948 yang mana hukuman denda tidak melebihi RM5,000 boleh dikenakan atau penjara tidak lebih 3 bulan, ataupun kedua-duanya sekali.

Mohd Noor, yang juga merupakan salah seorang panel dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hujung minggu lalu mengeluarkan kenyataan hasutan dan berbentuk perkauman pada satu forum bertajuk “Wacana Post-Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah” anjuran oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Ekoran kenyataannya itu, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) memberi reaksi balas mengkritik dan mengecam Mohd Noor yang dilihat cuba mencetuskan ketegangan antara masyarakat Cina dan Melayu di dalam negara.

Barisan Nasional (BN) menang tipis pada 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi oleh PR, lebih rendah daripada 140 kerusi yang mereka menangi dalam Pilihan Raya 2008.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mencadangkan “tsunami Cina” menyebabkan BN mendapat keputusan pilihan raya terburuk dalam sejarah.

Utusan Malaysia, akhbar dimiliki Umno, juga mencadangkan pengundi Cina cuba melakukan provokasi kaum dengan mengundi menentang BN, dengan satu tajuk muka hadapan akhbar itu berbunyi, “Apa lagi Cina Mahu?”.

Akhbar itu dilihat — bersekutu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad — dan pemimpin parti lain secara konsisten berhujah undi menentang Umno yang mengetuai BN sama dengan undi menentang Melayu.

Ini berlaku apabila secara faktanya parti PR PAS dan PKR sebahagian besarnya ahlinya Melayu-Muslim. DAP turut meletakkan calon Melayu dalam pilihan raya.

Tiada ulasan: