Rabu, 22 Mei 2013

Exco Johor MCA pohon cuti rehat menunggu keputusan Lembaga Disiplin parti

THE MALAYSIAN INSIDER
 
KUALA LUMPUR— Datuk Tee Siew Kiong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang yang menerima jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Johor baru-baru ini akan ditentukan oleh lembaga disiplin parti itu, kata presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Menurut laporan The Star Online, Dr Chua mengatakan buat masa ini, Tee telah memohon cuti rehat daripada menyertai sebarang mesyuarat dan aktiviti parti sementara menunggu keputusan daripada lembaga disiplin MCA berhubung nasibnya.

"Beliau akan bercuti sehingga lembaga disiplin membuat keputusan mengenai isu lantikannya," kata Dr Chua (gambar) dipetik dari portal berita milik MCA itu.

"Sehubungan itu, beliau tidak akan menghadiri apa-apa mesyuarat atau aktiviti parti sama ada di peringkat pusat atau bahagian," tambah beliau lagi.

MCA sebelum ini membuat keputusan untuk tidak menerima apa-apa jawatan dalam kerajaan berikutan keputusan Pilihan Raya 2013 lebih teruk berbanding pilihan raya umum 2008 berdasarkan satu resolusi yang diluluskan dalam perhimpunan agung MCA pada 2011 dan 2012.

Namun, pelantikan Tee sebagai salah seorang daripada tujuh muka baru yang dilantik sebagai Exco dalam pentadbiran kerajaan negeri Johor bagaimanapun telah menimbulkan kontroversi dalam parti.

Tee menyertai Exco atas titah dan perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahukan wakil Cina dalam Kabinet negeri tersebut.

Ketika ditanya mengenai jawatan Menteri Pengangkutan yang ditawarkan khas untuk MCA, Dr Chua berkata mereka tetap dengan pendirian parti untuk tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri selepas mencatat keputusan buruk pada PRU-13.

"Kita tetap pegang teguh pada resolusi yang ditetapkan namun ia terserah kepada keputusan Perdana Menteri mengenai jawatan itu," katanya.

Pada PRU-13, Ahad lalu, MCA hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen daripada 37 kerusi yang ditandinginya dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 90 kerusi ditandingi.

Pada 2008, MCA memenangi 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN.

Tiada ulasan: