Rabu, 22 Mei 2013

DAP sedia isytihar aset walaupun SPRM kurang kredibiliti

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR — Wakil rakyat daripada DAP bersedia untuk mengisytiharkan aset mereka sepertimana yang dicadangkan anggota panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), walaupun badan pencegahan rasuah berkenaan menurut Tony Pua “kurang kredibiliti”.

Tony Pua: SPRM tidak adil. — Gambar failMeskipun Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu bersetuju dengan cadangan panel SPRM tersebut,  kerana menurutnya ia adalah langkah positif untuk “memastikan integriti, dan meningkatkan kepercayaan dan bagi mengekang gejala rasuah”, beliau bagaimanapun menolak pengisytiharan tersebut dibuat hanya kepada SPRM sahaja.

Jelas Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu lagi, sejak lima tahun kebelakangan ini, SPRM juga tidak menyiasat dengan kompeten gejala rasuah “ikan jerung” dalam parti pemerintah.

“Lebih malang lagi, SPRM begitu tidak adil apabila mensasarkan wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat. SPRM memburu di Selangor, merampas fail dari Ahli Dewan Undangan Negeri dan menggledah pejabat kerajaan negeri tanpa bukti kukuh dengan harapan akan memperolehi bukti pelakuan rasuah atau salah guna kuasa,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Panel dengan lapan anggota itu dalam kenyataannya semalam telah mencadangkan supaya semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat pengisytiharan harta setiap tiga tahun kepada SPRM.

Langkah itu jelas mereka bagi memastikan komitmen mereka dalam perang menentang rasuah.
“Dengan pengisytiharan harta yang dibuat oleh semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri ini maka keraguan terhadap pertambahan aset sepanjang mereka memegang jawatan dapat dihindari,” kata panel berkenaan.

Pua bagaimanapun menegaskan kesemua wakil rakyat yang terpilih DAP telah menandatangani Akujanji Integriti pada 11 Mei 2013 ketika Persidangan Kebangsaan Wakil Rakyat yang Terpilih, yang katanya turut memasukkan kluasa “pengisytiharan aset kepada umum sebaik sahaja dilantik ke jawatan eksekutif kerajaan” sama ada di peringkat negeri mahupun Pusat.

“Exco kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Selangor telah pun mengisytiharkan aset secara terbuka ... saya sendiri bersedia untuk mengisytiharkan aset secara terbuka kerana saya tahu apa sahaja aset yang saya ada diperoleh dengan cara yang baik tanpa sesen pun daripada duit pembayar cukai atau korupsi,” katanya lagi.

Pua turut menambah, “apa yang kurang adalah komitmen untuk pengisytiharan aset oleh Perdana Menteri termasuk SPRM akan membuktikan kurangnya keikhlasan untuk membanteras rasuah, terutamanya bagi mereka yang berkuasa di negara ini”.

Panel berkenaan yang dipengerusikan oleh Datuk Johan Jaaffar turut  mencadangkan anggota keluarga jemaah Menteri dan Menteri Besar termasuk juga kumpulan anggota jawatankuasa negeri dicadangkan supaya dilarang daripada terbabit dengan kontrak kerajaan.

Hal ini kerana jelasnya,  agar anggota pentadbiran kerajaan pada peringkat pusat dan negeri serta anggota keluarga terdekat mereka tidak melibatkan diri dalam permohonan atau membida kontrak kerajaan.

Mereka turut mencadangkan agar diwujudkan tempoh bertenang bagi membenarkan penjawat awam yang telah bersara memegang jawatan korporat atau pengamalan profesional dalam sesebuah syarikat atau firma bagi mengelakkan berlakunya gejala rasuah.

“Keadaan ini boleh menimbulkan konflik kepentingan kerana mereka boleh memanfaatkan pengetahuan, pengaruh dan peranan ketika berkhidmat dalam kerajaan untuk kepentingan masa pencen. Ia juga merupakan 'insuran' atau jaminan bagi mereka apabila meninggalkan jawatan awam.

“Risiko kesalahan rasuah juga boleh berlaku kerana pegawai yang bakal bersara itu berpeluang memanfaatkan kedudukan awamnya untuk melobi jawatan atau faedah peribadi tertentu bagi dirinya apabila dia bersara kelak,” katanya lagi.

Tiada ulasan: