Sabtu, 18 Mei 2013

5 Mei adalah revolusi aman



Oleh ABU FIRDAUS 

IA bukan reformasi, ia bukan transformasi, apa yang berlaku pada 5 Mei lalu adalah revolusi. Revolusi politik aman yang sedang mengubah bukan saja Malaysia malah boleh mempengaruhi suasana politik negara jiran juga.

Sememangnya Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) masih melaungkan Reformasi, dan ia cuba dipintas dengan program Transformasi oleh Barisan Nasional tetapi yang berlaku ialah suatu revolusi aman melalui peti undi.

Fenomena revolusi ini berlaku kerana DAP mengutarakan 'Middle Malaysia' menggantikan 'Malaysian Malaysia' dan PAS menetapkan Negara Berkebajikan menggantikan Negara Islam.

Gabungan mantap PAS dan DAP dengan berdiri di atas asas Reformasi KeADILan telah melahirkan revolusi aman politik Pakatan Rakyat.

Sememangnya sepanjang kempen PRU13, DAP sedikit pun tidak menyebut 'Middle Malaysia', malah banyak orang melihat parti itu tidak ada mengalami sebarang perubahan. 'Middle Malaysia' juga dilihat serupa saja dengan 'Malaysian Malaysia'.

Sebaliknya, apa yang dilancarkan oleh DAP ialah kempen Ubah yang sebelum ini digunakan dalam pilihan raya negeri Sarawak kepada Ini Kalilah. Walaupun para pengkritiknya tentu mengatakan bahawa kedua-dua kempen itu telah gagal kerana DAP tidak berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional negeri Sarawak dan juga kerajaan Barisan Nasional Persekutuan, tetapi mesej yang hendak disampaikan itu berjaya memaut majoriti pengundi.

Perubahan telah berlaku. Kali inilah masanya. Inilah dia revolusi aman. Apabila dimaksudkan Ubah dan Ini Kalilah ia bukan saja ditujukan pada menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional, tetapi perubahan pada pemikiran rakyat, dan lebih penting lagi kepada DAP sendiri.

Jadi, DAP sudah berubah. Kali in DAP telah menerima persepakatan dengan PAS dalam Pakatan Rakyat. Tidak seperti dalam pilihan raya umum 2008 apabila ia keluar daripada Barisan Alternatif.

Maka walaupun DAP tidak melaungkan 'Middle Malaysia', dari segi perbuatan, ia telah melaksanakannya. Ini adalah suatu revolusi. Begitu juga dengan PAS.

PAS tidak banyak menyebut Negara Berkebajikan semasa kempen tetapi parti itu di mana-mana menyatakan azam untuk menyertai kerajaan yang iltizamnya adalah urus tadbir baik.

Maka revolusi aman ini dapat berlaku apabila PAS dan DAP dapat bertemu di tengah-tengah, 'Middle Malaysia' dan Negara Berkebajikan diperkukuhkan dengan politik baru berasaskan Reformasi tajaan KeADILan.

Tentunya PAS dan DAP bukannya sempurna. Apatah lagi KeADILan. Tetapi Anwar Ibrahim telah membawa satu cara berpolitik bukan berasaskan kaum tetapi muafakat pelbagai aliran.

Perbezaan aliran bukan saja dalam Pakatan Rakyat tetapi juga dalam KeADILan walaupun menjadi bahan cemuhan Barisan Nasional adalah sebenarnya kekuatan, dan bukannya kecacatan.

DAP boleh menegur PAS dan KeADILan dengan berterus-terang, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh MCA dan MIC terhadap Umno. PAS juga boleh menegur DAP dan KeADILan secara bebas, sesuatu yang ia tidak dapat dilakukan terhadap Umno dan MCA ketika ia berada dalam Barisan Nasional.

Cara berpolitik Pakatan Rakyat adalah berbeza daripada Barisan Nasional. Inilah juga sebahagian daripada revolusi aman. Malah dalam KeADILan juga, kelompok-kelompok berlainan fahaman bebas mengkritik satu sama lain.

Lihatlah bagaimana Azmin Ali mengkritik Anwar Ibrahim. Begitu juga kritik golongan kiri KeADILan terhadap Anwar dan Azmin. Dalam KeADILan, kelompok-kelompoknya tidak terdiri daripada kaum berbeza tetapi fahaman berlainan.

Kelompok paling besar ialah golongan kiri dan kanan. Ia adalah jelmaan ekoran gabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia dahulu. Dalam golongan kanan pula terdapat kelompok Islamis, yang terdiri daripada mereka yang pernah aktif dalam ABIM dan juga reformis, kelompok bekas Umno yang menyahut seruan Reformasi Anwar ketika beliau disingkirkan daripada Umno dahulu.

Adanya kelompok dalam parti politik bukanlah suatu yang pelik atau mencacatkan. Dalam DAP dan PAS pun terdapat kelompok-kelompok yang berbeza aliran dan fahaman. Tetapi semuanya wajar memahami mengenai kepentingan parti dan pakatan secara keseluruhan. Ia adalah sebahagian daripada demokrasi masa kini.

Apa yang boleh dilihat sebagai revolusi ini dipacu oleh teknologi maklumat. Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat hanya berada di tengah-tengah revolusi teknologi maklumat untuk melaksanakan tuntutan rakyat.
Justeru, kejayaan revolusi aman ini bergantung pada rakyat sendiri yang perlu turut aktif berperanan memilih keadaan politik bagaimana yang mereka perlukan.

Nota: Tulisan ini adalah pandangan bebas penulis dan tidak mencerminkan pendirian web ini

Tiada ulasan: