Sabtu, 15 September 2012

Hak Sama Rata, Tabung Surirumah Dan Akta Ganguan Seksual Antara Tawaran Agenda Wanita Malaysia




SHAH ALAM : Pakatan Rakyat akan menubuhkan Agensi Hak Sama Rata sekiranya diberi mandat untuk mentadbir Putarjaya selepas Pilihnaraya Umum ke 13 (PRU13) nanti.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin berkata, Agensi tersebut bagi memartabatkan kedudukan wanita seiring dengan kaum lelaki di negara ini.

Selain itu, Pakatan juga akan mengadakan skim Caruman Wanita Malaysia di mana Kerajaan Pusat akan melabur RM 50 setiap bulan ke dalam akaun surirumah yang berpendapatan RM1,500 ke bawah.

Di samping itu suami akan digalakkan untuk membuat caruman khas minimum RM 10 kepada isteri setiap bulan. Ini sebagai perlindungan kepada isteri sekiranya berlaku penceraian, suami hilang keupayaan bekerja atau mati.

“Tabung itu juga merupakan tabung simpanan hari tua yang boleh dikeluarkan apabila mencapai umur 50 tahun,” katanya.

Inisiatif-Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada teras “Penglibatan dan Peluang Ekonomi” yang terdapat di dalam Agenda Wanita Malaysia Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, Pakatan akan juga menjamin kesamarataan dalam tangga gaji antara wanita dan lelaki serta kesamarataan di penilaian prestasi pekerjaan.

“Kita terapkan falsafah dan hormat wanita dalam Agenda Wanita Malaysia sebagai falsafah asas yang mengacu budaya memartabatkan dan menghormati wanita sebagai “equal partner”, katanya.

 

Pelancaran buku Agenda Wanita Malaysia disempurnakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam.

Turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Dewan Muslimat PAS, Wan Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Wanita DAP, Chong Eng.

Katanya, bagi memastikan golongan wanita mendapat pembelaan yang lebih terjamin, Pakatan akan menggubal Akta Gangguan Seksual yang khusus serta menubuhkan Suruhanjaya Keganasan Rumahtangga dan Wanita.

Pakatan akan juga memperkenalkan Pemilikan Rumah Pertama Wanita demi menjamin kestabilan hidup.

Dalam sidang media selepas pelancaran itu Zuraida berkata Pakatan akan bergerak bagi mendekatkan diri dengan golongan wanita untuk menyebar luas maklumat tentang Agenda Wanita Malaysia.

“Undi wanita adalah penting kerana ia merangkumi hampir separuh dari jumlah pengundi di negara ini.

“Kita perlu menyampaikan maklumat ini terus kepada mereka supaya mereka memahami akan agenda ini demi kepentingan untuk mereka sendiri.”

Tiada ulasan: