Khamis, 12 Julai 2012

Pangkalan data SPR gagal bersihkan daftar pemilih – Tian

Oleh Masdar Wahid

 KUALA LUMPUR- Sistem pangkalan data oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kekal pincang selagi ia tidak mengeluarkan nama pengundi yang sudah mati secara automatik, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.



“Lebih berkesan jika sistem itu berupaya memutuskan mana-mana individu yang mencapai usia 21 tahun menjadi pengundi secara automatik dan tempat mengundi ditentukan melalui alamat kad pengenalan.

“Tambah relevan jika pengundi yang sudah meninggal dunia, dikeluarkan secara automatik daripada senarai pemilih dan tidak perlu lagi mengisi borang,” katanya dipetik.

Beliau mengulas cadangan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang mahu mewujudkan sistem pangkalan data sendiri.

Aziz turut menyatakan, sistem itu mampu menangani isu pendaftaran bertindih, pengundi mengundi dua kali dan pengundi hantu.

Mengulas lanjut, Tian berkata, SPR sepatutnya memastikan identiti pengundi yang sudah mati tidak diguna oleh pengundi hantu kerana hingga kini SPR gagal membersih daftar pemilih walau berpuluh tahun didesak Pembangkang termasuk menemui agensi kerajaan itu.

“Sistem itu tidak berupaya membersihkan daftar pemilih secara keseluruhan kerana isu pengundi di kalangan pekerja asing masih dipersoalkan.

“Kami berharap Suruhanjaya Diraja menyelesaikan segera isu pendatang asing tanpa izin yang didaftarkan sebagai pengundi,” kata Tian yang juga Ahli Parlimen Batu.

Mengenai cadangan Aziz bahawa sistem itu akan dihubungkan dengan agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), beliau berkata, ia tidak relevan.

“Saya tidak nampak relevannya hubungan SPR dengan syarikat utiliti seperti TNB kerana kebanyakan bil utiliti tidak didaftarkan atas nama penginap atau penyewa.

“Sepatutnya SPR menjalin hubungan lebih rapat dengan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) dan polis bagi membolehkan maklumat pengundi yang meninggal dunia diperoleh dengan segera, sekaligus mengurangkan jumlah pengundi hantu,” katanya.

Tiada ulasan: