Khamis, 12 Julai 2012

Polis maki, pijak berkali-kali sebab pakai baju Bersih

Oleh Aisha Geoffrey


KUALA LUMPUR : Seorang lagi peserta Bersih, Kumar Suppiah memaklumkan, beliau dipijak beberapa kali oleh polis dan penguasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau turut menunjukkan bukti baju tersebut yang dipakainya pada 28 April, di mana banyak kesan tapak kasut sehingga mengejutkan semua yang hadir dalam sidang kedua pendengaran awam oleh Suruhan Jaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) semalam.

“Mereka pijak saya kerana pakai baju kuning Bersih, seolah-olah ia adalah satu kesalahan besar,” kata Kumar.

Katanya, polis turut mengeluarkan kata-kata kesat seperti, “keling,” dan “aku akan hapuskan kau bila sampai balai nanti”.

“Polis pegang kolar saya dan heret sampai Dataran Merdeka, sambil itu pelbagai kata-kata kesat telah saya terima,” jelas Kumar depan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Kumar ditahan selama lebih enam jam di Pusat Latihan Polis (Pulapol) sebelum dibebaskan pada jam 12.30 malam.

Tiada ulasan: