Sabtu, 14 Julai 2012

Gambaran negatif, PAS NS lapor polis

 
Penolong Setiausaha MCA Negeri Sembilan, Jason Lee dalam Twitternya menyifatkan hudud sebagai hukum agama yang melampau.




SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis terhadap MCA negeri kerana mendakwa parti perkauman Cina itu memberi gambaran negatif terhadap agama Islam dan PAS.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani berkata beberapa aktiviti parti dan kepimpinan MCA Negeri Sembilan berusaha untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina tentang PAS.

“Dalam satu majlis bersama rakyat pada malam 19 Jun lalu kepimpinan MCA telah menganjur ceramah dan tayangan multimedia yang memberi gambaran buruk tentang undang-undang Islam termasuk hukum hudud kepada masyarakat bukan Islam.

“Penolong Setiausaha MCA Negeri Sembilan, Jason Lee dalam Twitternya cuba mengaitkan kejadian amuk di Putrajaya baru-baru ini dengan agama Islam dan sekaligus cuba mengaitkan PAS dengan kejadian tersebut.

“Kami ingin tegaskan bahawa kedua-dua tindakan tersebut amat tidak bertanggungjawab dan boleh menyentuh sensitiviti umat Islam.

Tarik balik

 
“Lantaran itu kami mendesak kepimpinan MCA Negeri Sembilan menarik balik semua kenyataan yang
 menghina undang-undang Islam termasuk kenyataan Jason Lee dalam Twitternya.

  

“Kami juga menuntut mereka memohon maaf kepada umat Islam terhadap apa yang telah berlaku dalam akhbar harian Melayu dan Cina”, kata Mohd Taufek.

Mohd Taufek yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, berkata PAS mahu MCA menghentikan semua aktiviti, ucapan dan tulisan yang menghina Islam dan undang-undang Islam.

“Jika pihak MCA negeri tidak berbuat demikian, PAS negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap parti itu dan pemimpin yang terbabit termasuk Jason Lee.

“PAS negeri juga akan menghadap ke bawah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhkriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, selaku Ketua Agama Islam Negeri Sembilan bagi memaklumkan tindakan menghina agama Islam tersebut.

Jalan penyelesaian 

“Namun PAS sedia untuk mengadakan perbincangan dengan pihak MCA bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung hal tersebut dan juga berbincang sebarang masalah dan pertanyaan mereka berhubung dengan agama Islam.





" PAS bersedia memberi penerangan dan taklimat berkaitan hukum hudud dan apa juga perkara berkaitan agama Islam jika MCA tidak memahaminya,” jelas Mohd Taufek.

Mohd Taufek memberikan mesej Twitter Jason Lee yang beliau telah fotostat kepada FMT. Mesej Twitter tersebut dihantar oleh Jason Lee dalam Bahasa Mandarin.

Bagaimanapun Mohd Taufek turut menberikan salinan mesej yang telah dialih bahasa kepada Bahasa Melayu.

Mesej Twitter tersebut berbunyi ”Keadaan huru-hara akibat daripada mentadbir negara berdasarkan hukum agama yang melampau seperti PAS dalam Pakatan Rakyat”.

Tiada ulasan: