Konflik air antara kerajaan negeri dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) terus disemarakkan apabila Pemuda PKR (AMK) merancang mengadakan demonstrasi membantah dakwaan kegagalan konsensi air negeri itu di Shah Alam, Isnin depan.

Naib Ketua AMK Azmizam Zaman Huri berkata, mereka akan menyerahkan memorandum membantah cadangan pencatuan air oleh SYABAS, sekali gus mendesak kerajaan negeri mengambil alih operasinya.

"AMK Selangor juga mengalu-alukan semua parti politik serta NGO dan badan tidak berkepentingan untuk menyertai 'Demo Bantahan Kegagalan SYABAS' bagi memberi satu tekanan supaya mereka segera menyerahkan operasi urus tadbir air kepada kerajaan negeri Selangor dan tidak lagi bermain tarik tali dengan menyusahkan kehidupan rakyat terutama ketika Ramadan dan menjelang Syawal," katanya.

Demonstrasi itu akan diadakan di Wisma Rozali, Seksyen 13 pada jam 12 tengah hari.

Menariknya, perhimpunan 'anti-SYABAS' itu diadakan pada hari ketiga Ramadan, langkah yang jarang dilakukan sebelum ini.