Selasa, 10 Julai 2012

31 aktivis ‘tawan’ pejabat MB Pahang ditahan polis

 
Mereka berkhemah dengan harapan Datuk Seri Adnan Yaakob menyelesaikan beberapa isu di Cameron Highlands.




PETALING JAYA: Polis menahan 31 orang aktivis yang berkhemah di Pejabat Menteri Besar Pahang di Kuantan hari ini.

Aktiviti Occupy Pejabat MB dipelopori ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk mencari penyelesaian terhadap beberapa isu yang dihadapi oleh penduduk Cameron Highlands.

Mereka telah memulakan aktiviti perkhemahan di pejabat Datuk Seri Adnan Yaakob  pada  jam 11 pagi ini.

Antara yang ditahan termasuk setiausaha PSM Cameron Highlands, K Suresh.

Peserta tertua yang ditahan adalah seorang wanita berusia 90 tahun manakala yang termuda, berusia 5 tahun.

Dari sejumlah 31 orang, 13 merupakan lelaki dewasa 12 wanita dewasa dan 6 kanak-kanak.

“Dua bulan lepas 40 orang tersebut telah berjumpa dengan Menteri Besar yang berjanji akan hadir ke Cameron Highland untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Dua bulan sudah berlalu tapi hasrat mereka tidak kesampaian,” kata Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan ketika dihubungi.

7 tuntutan




Terdapat tujuh isu utama yang dituntut oleh peserta Occupy Pejabat MB iaitu:

i) Empat kes petani bertani selama 40 tahun tanpa lesen menduduki tanah sementara(TOL).
ii) Satu kes kawasan rumah diberi kepada kroni BN walaupun sudah 42 tahun menetap di sana.
iii) Sepasang suami isteri tiada rumah/tanah untuk berpindah meskipun untuk rumah dan tanah 30 tahun lalu
iv) Permohonan kawasan gerai ditolak dan diberi kepada pihak lain.
v) Kes gerai ibu tunggal yang dirobohkan
vi) Empat keluarga di Green Cow diancam bahaya tanah runtuh kerana Pejabat Daerah telah meluluskan permit menolak tanah.
vii) Dua  kes pegerai Kea Farm yang gerai mereka akan diroboh untuk beri laluan kepada pemaju swasta.

“Pada ketika ini pihak polis sedang mengambil keterangan dari kesemua 31 orang.

“Kita tidak tahu sama ada mereka akan direman atau tidak,” kata sumber PSM.

Tiada ulasan: