Isu alam sekitar merupakan suatu isu yang semakin hebat diperkatakan di negara kita mutakhir ini. Isu kilang nadir bumi yang didirikan oleh Lynas Corp di Gebeng, Kuantan, Pahang merupakan isu yang alam sekitar yang paling panas. Selain itu, terdapat juga isu-isu alam sekitar lain seperti pembinaan empangan-empangan serta pemusnahan hutan di Sabah dan Sarawak, dan isu Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.
Situasi ini membawa kepada kurangnya check and balance dalam negeri-negeri tersebut dan memudahkan kerajaan negeri untuk melaksanakan atau meluluskan projek-projek yang biasanya akan menimbulkan kontroversi di negeri-negeri lain.
Antara negeri-negeri yang dianggap sebagai kubu kuat ini, Johor adalah yang paling sukar untuk ditembusi. Di Sabah sudah pernah berlaku pertukaran kerajaan beberapa kali. Di Sarawak kerajaan Taib Mahmud hampir ditumbangkan dalam Pilihan Raya Negeri 1987. Di Pahang, PAS berjaya memperoleh pencapaian yang memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum tahun 1999 sehinggakan Menteri Pendidikan ketika itu, Najib Razak cuma menang tipis dengan majoriti 241 undi berbanding lebih 10 ribu undi pada pilihan raya sebelumnya. Cuma di Johor sahaja situasi politik berada dalam keadaan yang stabil semenjak dari merdeka lagi.
RAPID adalah sebuah projek untuk mentransformasikan Pengerang menjadi sebuah sebuah pusat dagangan bersepadu minyak, gas dan petrokimia bertaraf dunia. Pihak-pihak yang terlibat adalah Kerajaan Negeri Johor, Dialog Group Berhad, dan syarikat Belanda, Vopak.
Jika kita lihat laporan-laporan di media arus perdana, samada Bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris, RAPID diumpamakan sebagai durian runtuh kepada penduduk di Pengerang. Bukan sahaja peluang pekerjaan bakal diwujudkan sepanjang proses pembinaan dan selepas operasi bermula, malah penduduk akan diberikan pampasan kewangan untuk tanah mereka yang diambil untuk projek ini. Penduduk juga akan dipindahkan ke kawasan perumahan yang berkualiti dan dibekalkan dengan segala kemudahan di tempat tinggal baru mereka. Latihan akan diberikan kepada penduduk untuk memanfaatkan peluang pekerjaan yang disediakan.
Apa yang paling ironi adalah, projek ini diwar-warkan sebagai sebahagian dari usaha untuk membantu negara kita mencapai status negara berpendapatan tinggi, namun di negara berpendapatan tinggi, projek seperti ini yang akan memberi kesan besar terhadap hidup penduduk akan melalui proses public consultation atau pendengaran awam dahulu sebelum dimulakan. Segala impak projek tersebut terhadap penduduk, tidak kira dari segi sosial, ekonomi, atau alam sekitar akan dikaji dahulu. Sekiranya pengambilan tanah terlibat, jumlah pampasan akan dikira terlebih dahulu. Semua maklumat ini akan dimaklumkan kepada penduduk. Setelah penduduk mempunyai masa yang cukup untuk mengkaji maklumat-maklumat ini, public consultation akan diadakan untuk meminta pendapat penduduk. Selepas mendengar pandangan penduduk, barulah kerajaan membuat keputusan samada mahu menjalankan projek tersebut.
Namun, apa pula situasi di Malaysia, yang kononnya mahu mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020? Memang sudah menjadi perkara biasa di negara ini di mana kerajaan tidak akan meminta pendapat rakyat berkenaan apa-apa projek yang dijalankan. Dalam isu RAPID ini, pengumuman mengenai projek ini telah dibuat sejak tahun lepas lagi, namun Menteri Besar, Abdul Ghani Othman mengatakan bahawa jumlah pampasan untuk pengambilan tanah hanya akan diketahui selewat-lewatnya pada bulan Oktober tahun ini. Bukan sahaja pendapat penduduk tidak pernah diminta, malah maklumat penting seperti jumlah pampasan pun hendak ditangguh sebegitu lama sebelum dimaklumkan kepada penduduk.
Industri perikanan di Pengerang telah mula merasai kesan dari projek RAPID ini.
Nelayan di Pengerang mengadu bahawa sejak fasa pertama projek ini bermula, hasil tangkapan mereka telah berkurang dengan mendadak. Dialog Group Berhad menjanjikan pampasan terhadap kerugian yang ditanggung oleh golongan nelayan, di mana nelayan berlesen dijanjikan untuk dibayar RM30,000 dan nelayan tidak berlesen akan dibayar RM15,000. Rata-rata nelayan tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan tersebut. Dengan pendapatan nelayan yang mencecah lebih RM3,000 sebulan, jumlah pampasan tersebut tidak sampai hasil pendapatan mereka selama setahun dan tidak berpatutan dengan jumlah kerugian yang mereka alami. Walau bagaimanapun, difahamkan ada sebahagian nelayan yang telah menandatangani borang untuk menerima pampasan ini. Mereka mendakwa mereka telah diperdaya untuk menandatangai dokumen tersebut dan mereka tidak tahu bahawa dalam dokumen tersebut ada syarat yang menetapkan bahawa mereka tidak boleh menuntut apa-apa pampasan lagi selepas bersetuju menerima jumlah wang tersebut.
Penduduk Pengerang kini sedang mencuba pelbagai cara untuk menghentikan RAPID dari diteruskan. Namun usaha mereka setakat ini belum mencapai apa-apa hasil. Ini mungkin disebabkan isu ini belum mendapat perhatian yang meluas, oleh itu mereka tidak dapat membentuk satu bentuk tekanan yang kuat ke atas pihak-pihak yang terlibat. Namun ini tidak mematahkan semangat mereka untuk terus mencuba. Kepada sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu ini, anda boleh berbuat demikian dengan melayari http://kampungkusuaraku.blogspot.com.
*Rayner Yeo adalah seorang penulis sambilan yang berasal dari Sabah dan kini menetap di Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan