Rabu, 18 Januari 2012

Saman Polis, K’jaan: Zunar beri keterangan di mahkamah

Oleh: Nabihah Hamid

KUALA LUMPUR : Kartunis Politik, Zunar hari ini memberi keterangan sebagai saksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes saman terhadap pegawai polis dan empat pihak lain termasuk kerajaan Malaysia.

Saman itu ekoran penangkapan tidak sah terhadap beliau dan rampasan buku, Cartoon-O-Phobia serta karya seninya yang berkaitan pada 24 September 2010.

Ketika memberi keterangan kira-kira jam 9 pagi, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque menceritakan detik tangkapan tersebut oleh sepasukan anggota polis diketuai defendan pertama, ASP Arikrishna Apparau.


Beliau turut menjelaskan tuntutan terhadap kerosakan dan kerugian syarikatnya, Sepakat Efektif Sdn Bhd akibat rampasan buku kartun tersebut dan sebuah lukisan kolaj yang memaparkan wajah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketika disoal peguam, N Surendran, Zunar berkata beliau melukis kartun mengenai isu- isu politik semasa berdasarkan pentafsirannya sebagai seorang kartunis politik.

“Kartun politik dilukis dengan mengkarikaturkan wajah pemimpin politik dan tokoh terkenal, manakala mesejnya biasanya bergantung kepada pentafsiran pembaca.

“Kartun saya adalah sejenis bentuk seni. Peranan saya sebagai seorang kartunis politik adalah mengkritik salahlaku kerajaan,” tegas beliau.

Pada 15 Jun tahun lalu, Zunar memfailkan saman sivil ke atas kerajaan Malaysia dan empat defenden berhubung penangkapannya dan rampasan terhadap 66 buku Cartoon-O-Phobia serta sebuah lukisan kolaj pada 2010.

Beliau menamakan pegawai yang menahannya ASP Arikrishna Apparau, pegawai penyiasat ASP Marina Hashim, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, kementerian dalam negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Zunar memfailkan saman itu melalui Tetuan Daim & Gamany di Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: