Sabtu, 14 Januari 2012

Rashid : SPR Perlukan Lebih Banyak Kuasa Dan Undang-Undang Baru

Post Pic



KOTA BHARU : Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menggesa kerajaan terus pro-aktif dalam meminda peraturan dan undang-undang pilihanraya yang telah lapuk dan tidak sesuai dengan keadaan semasa.
Rashid yang berkhidmat dengan SPR selama 26 tahun turut menegaskan keperluan rakyat dan pembangkang menyokong iltizam politik yang dipancarkan oleh kerajaan BN sekarang untuk menambah baik kuasa-kuasa SPR.

"Sekarang ini saya minta (perubahan) sebab sudah ada 'political will' (kerajaan) jadi kita kena sokonglah," jelas Rashid.

Pada masa sama, kerajaan juga harus memperbaiki undang-undang dan kuasa yang ada pada SPR, kata beliau selepas Wacana Perdana Pilihanraya Bebas Dan Adil : Realiti Atau Ilusi.

Turut menyertai wacana itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa.

Kerajaan baru-baru ini menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen Untuk Menambah Baik Sistem Pilihanraya (PSC) yang antara lain akan mencadangkan penggunaan dakwat kekal, selain memastikan ketelusan pada hari mengundi.

Selain itu tempoh berkempen juga dijangka dipanjangkan kepada kira-kira dua minggu manakala penyelarasan lebih gigih dibuat untuk mengemaskini senarai daftar pemilih.

Rashid berkata ramai pihak tidak menyedari bahawa kuasa-kuasa SPR yang ada adalah terbatas dan usang, setelah digunapakai selama 54 tahun tanpa banyak pindaan.

"Banyak perkara yang tidak ada dalam kawalan SPR (tetapi) SPR ini diminta supaya untuk menjalankan pilihan raya yang bersih dan adil tapi (macam mana) kalau banyak perkara tidak ada dalam undang-undang,” kata Rashid.

“Pilihan raya ni berpaksi kepada undang-undang. Kalau undang-undang tu pincang ia perlu diperbaiki. Berikan kuasa sepenuhnya kepada SPR untuk menentukan terdapatnya satu pilihan raya yang dikatakan diterima umum sebagai bersih dan adil," kata beliau kepada pemberita.

Rashid membayangkan pentabiran Datuk Seri Najib Razak banyak memberi ruang untuk melakukan pembaharuan bagi memperkasakan SPR, berbanding pimpinan lalu.

"Saya tak kecewa (sepanjang pentadbiran saya) tapi saya dihadkan oleh peraturan sebab ada Akta Suruhanjaya Pilihanraya yang menyebut apa saya boleh dan tidak boleh buat. Kerja itu adalah jalankan pilihan raya ikut undang-undang," kata beliau.

"Masa sudah tiba negara ni buat perubahan yang sesuai bagi pengurusan pilihan raya. Sudah 54 tahun peraturan yang sama digunakan, jadi kita kena kajilah," tambahnya.

Tiada ulasan: