Jumaat, 6 Januari 2012

Perhimpunan 901 aman jika tiada provokasi

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR: Perhimpunan aman 901 pasti aman dan teratur jika orang-orang jahat tidak melakukan kekacauan dan provokasi, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Malah, beliau mengingatkan, jika berlaku sebarang kekacauan dan kekecohan dalam perhimpunan untuk membantah rekayasa politik ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, pihak yang bertanggungjawab ialah pihak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein sendiri serta parti yang turut dipimpinnya, Umno.

"Seperti semua perhimpunan yang kita adakan sebelum ini, keadaan kucar-kacir dan huru-hara hanya terjadi apabila orang-orang tertentu yang berhati jahat melakukan kekacauan dan provokasi.

"Jika tidak diganggu oleh orang-orang jahat, buktikan walau satu pun perhimpunan atau ceramah Pakatan Rakyat (PR) yang mengakibat keadaan kucar-kacir dan huru-hara," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu ketika diminta mengulas kenyataan Hishammuddin yang mahu perhimpunan tersebut berjalan dengan teratur dan aman.

Menurut beliau, dengan lagak kononnya untuk menjaga keamanan, alat perkakas parti tertentu juga sering melakukan kekacauan dan kekerasan ke atas perhimpunan atau ceramah PR.

"Malah kebelakangan ini, gerombolan dari parti itu sendiri yang melakukan provokasi dan kekacauan sehingga mengakibatkan kejadian berdarah," kata Mahfuz.

Beliau yakin, penganjur perhimpunan itu telah melakukan persediaan yang secukupnya untuk memberitahu rakyat yang berhimpun dalam perhimpunan itu bahawa sebarang provokasi dan kekacauan hanya dilakukan oleh gerombolan parti berkenaan.

"Saya juga ingin berpesan kepada semua yang menyemarakkan perhimpunan aman 901 bahawa apa sahaja kekacauan dan provokasi, perkara itu tidak mungkin dilakukan oleh rakan-rakan mereka yang juga mahu behimpun dengan aman.

"Jika anda melihat sebarang kekacauan dan provokasi, ia pasti dilakukan gerombolan parti yang gilakan kekacauan itu atau agen-agen serta alat perkakas mereka," kata Mahfuz.

Beliau meminta semua pihak mengambil iktibar dari peristiwa yang berlaku dalam Revolusi Islam Iran dahulu.

Menurut beliau, pada waktu waktu itu sebuah panggung wayang dibakar oleh polis rahsia Shah Iran dan mereka yang menonton wayang dalam panggung itu mati.

"Selepas itu, kerana yakin orang lain juga bodoh seperti mereka, jentera propaganda Shah Iran menuduh rakyat yang berjuang dalam revolusi tersebut yang membakar panggung itu," katanya.

Dalam protes rakyat terhadap rejim Hosni Mubarak di Mesir baru-baru ini pula, kata Mahfuz lagi, pihak polis yang berkerja di bawah regim Mubarak telah memecah dan mencuri di sana-sini terutama di kedai-kedai dan kemudiannya menuduh rakyat yang menentang kekejaman diktator itu yang melakukan perkara tersebut.

"Di Malaysia juga bekali-kali kita melihat orang-orang yang mengajak rakyat yang berdemonstrasi melakukan tindakan yang lebih agresif tetapi apabila berlaku kekecohan, merekalah yang menangkap dengan ganas rakyat yang berdemonstrasi itu.

"Sudah berkali-kali kita melihat perkara seperti itu berlaku," katanya.

Beliau mengulangi pesanan kepada seluruh rakyat bahawa Umnolah yang mesti dipersalah dan dipertanggungjawabkan jika berlaku sebarang kekecohan dan kekacauan dalam perhimpunan 901 itu.

Tiada ulasan: