Rabu, 25 Januari 2012

Penjara pemandu nahas maut dikaji

Oleh Khairulmizan Yahya

Polis harap hukuman mandatori tingkat kesedaran


KUANTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia mempertimbangkan cadangan untuk mengenakan hukuman penjara mandatori ke atas pemandu yang menyebabkan kemalangan maut.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rasid, berkata saranan itu harus diperhalusi bagi memastikan keberkesanannya.

“Jika hukuman penjara mandatori ke atas pesalah boleh menyedarkan orang lain daripada melakukan perkara sama, kenapa tidak kita lakukan,” katanya ketika mengulas cadangan Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye yang mahu kerajaan mengenakan hukuman penjara mandatori terhadap mereka yang memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kemalangan maut.

Lam Thye berkata, kerajaan juga perlu menimbang untuk memperkenalkan skim ‘pandu selamat, kurang bayaran’ yang bermaksud, pemandu mengikuti kursus pemanduan berhemah layak dikenakan bayaran premium insurans lebih rendah untuk kenderaan masing-masing.

Salleh yang ditemui selepas tinjauan Ops Sikap ke-25 di Kilometer 20 Jalan Kuantan-Gambang, dekat Batu 12, semalam berkata, hukuman penjara mandatori hanya dikenakan kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut.

Sementara itu, beliau berkata, Ops Sikap pada hari kelapan menunjukkan perkembangan positif dari segi perangkaan kemalangan maut dan jumlah kematian berbanding tempoh sama pada Ops Sikap ke-23 Tahun Baru Cina tahun lalu.

“Setakat semalam (kelmarin), sebanyak 82 kes kemalangan maut membabitkan 93 kematian berbanding tempoh sama pada Ops Sikap ke-23 yang mencatatkan sebanyak 94 kemalangan maut dengan 103 kematian iaitu penurunan sebanyak 9.7 peratus jumlah kematian.

“Penunggang motosikal menjadi penyumbang tertinggi kemalangan maut pada Ops Sikap kali ini apabila mencatatkan 48 kemalangan maut iaitu 60 peratus berbanding kenderaan lain,” katanya.

Beliau berkata, jumlah saman yang dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan setakat kelmarin sebanyak 152,356 saman iaitu meningkat sebanyak 63 peratus berbanding tempoh sama pada Ops Sikap ke-23 yang mencatatkan 93,291 saman.

“Saman yang dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan namun kesalahan paling banyak dilakukan adalah melanggar had laju iaitu satu daripada enam kesalahan yang diberi tumpuan pada Ops Sikap ke-25 ini,” katanya.

Tiada ulasan: