IPOH - Penduduk dan peniaga Pasar Jelapang di Perak menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keadaan bangunan pasar dan persekitarannya yang kotor menerusi memorandum diserahkan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam.
Memorandum yang mengandungi kira-kira 2,000 tandatangan itu mengharapkan tindakan segera diambil MBI bagi menangani masalah itu yang didakwa dihadapi sejak sekian lama.
Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), M Sarasvathy berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk dan peniaga di pasar itu yang berharap MBI melakukan tindakan segera mengubahsuai bangunan pasar dan membersihkan kawasan persekitarannya.
Beliau berkata, pasar tersebut merupakan kawasan tumpuan penduduk berhampiran yang mengunjunginya saban hari untuk membeli barangan keperluan harian.
"Penduduk dan peniaga berharap Datuk Bandar Ipoh (Datuk Roshidi Hashim) mengambil kira masalah ini dan melakukan tindakan segera bagi mengatasinya. Premis pasar ini adalah kawasan dikunjungi orang ramai pada setiap hari terutama mereka dari kawasan berhampiran iaitu Taman Jati, Taman Meru, Taman Puncak Jelapang dan Kampung Jelapang.
"Berikutan itu satu memorandum dengan tandatangan orang ramai telah diserahkan kepada MBI bagi menyatakan perkara ini," katanya dalam satu menyataan kepada TVSelangor hari ini.
Sarasvathy menjelaskan antara isu yang dikemukakan dalam memorandum itu adalah penyediaan jalan bertar di sekeliling pasar, paip air untuk setiap peniaga, masalah lantai berlubang dan lampu yang tidak mencukupi selain longkang pecah, masalah air bertakung dan bau busuk.
Menurutnya lagi, ia termasuk masalah troli sampah yang diletakkan di hadapan pasar yang perlu dialihkan ke kawasan lain serta zink pasar yang bocor.
"MBI perlu memberi perhatian terhadap masalah ini demi kepentingan penduduk dan peniaga di pasar Jelapang ini.
"Kita juga meminta Datuk Bandar Ipoh membuat tinjauan di kawasan ini bagi mendapat gambaran sebenar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan