Ahad, 22 Januari 2012

Penantian Penduduk Kampung Rawang Tin Untuk Miliki Rumah Selesa Berakhir

Oleh Mohd Ezli Mashut


RAWANG : Penantian sekian lama penduduk Kampung Rawang Tin untuk mendapatkan kediaman selesa berakhir apabila kerajaan Selangor melaksanakan pelan penempatan semula kawasan itu.

Kampung yang mempunyai 285 tanah plot tersebut akan dimajukan sebagai sebuah taman yang dinamakan Taman Rawang Tin.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap taman itu akan menjadi sebuah taman contoh dari segi keindahan persekitaran, kualiti pembangunan dan kerjasama di kalangan penduduk.

Menurut Abdul Khalid, pembangunan semula kawasan penempatan itu dikemukakan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Rawang Tin dengan persetujuaan daripada penduduk sendiri.

"Ini perlu dilakukan kerana corak tanah yang berlumpur, rendah dan tidak rata menyebabkan banjir sering berlaku dan merugikan penduduk.

Maka, syarikat Westwood Development Sdn Bhd telah dilantik untuk memajukan kawasan ini," kata Abdul Khalid, yang merasmikan upacara pecah tanah di sini semalam.

Tambah Abdul Khalid, sejak Julai 2009, tapak seluas lebih 89,000 meter persegi ini telah diluluskan dengan kadar premium mengikut nilai semasa.

Manakala permohonan pengurangan kadar premium untuk 145 unit setinggan juga sudah diluluskan pada 20 Januari 2010.

"Alhamdulillah, bayaran premium yang dikenakan telahpun dijelaskan pada Jun 2010 dan kebenaran merancang diberikan sejak Januari 2011.

"Pada 3 Januari 2012,lesen Pemajuan Perumahan telah diperolehi daripada Jabatan Perumahan Negara," kata Abdul Khalid.

Majlis Perasmian Pecah Tanah Bagi Penempatan Semula Setinggan itu turut dihadiri oleh Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Ean Yong Hian Wah, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Iskandar Samad, Ahli Parlimen Selayang Wiliam Leong Jee Keen, ADUN Rawang Gan Pei Nei dan Pegawai Daerah Gombak Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Tiada ulasan: