Sabtu, 14 Januari 2012

PAS harap polis bendung jenayah kejam

Khairil Abdul Rahim,

KUALA LIPIS: PAS Pahang berharap polis berbuat sesuatu bagi membendung jenayah pembunuhan kejam yang semakin kerap berlaku di daerah ini sekarang.

Setiausahanya, Roslan Zainal berkata, usaha itu penting bagi mengelakkan tanggapan umum bahawa daerah kecil seperti Kuala Lipis seolah-olah tidak selamat lagi berdasarkan jenayah termasuk yang meragut nyawa semakin berleluasa.

Roslan yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Lipis, mengulas peristiwa ngeri seorang wanita yang baru enam bulan mendirikan rumah tangga, Nornadia Abu Bakar, 21, yang dibunuh kejam di rumahnya di Kampung Sungai Gemang dekat sini, kelmarin.

(Gambar: Keadaan dapur rumah mangsa.)

Peristiwa tragis itu turut disiarkan akhbar-akhbar harian.

Polis mengesahkan, dalam peristiwa tersebut mangsa maut akibat dikelar di leher dan di tikam bertubi-tubi di perut menggunakan senjata tajam kemudian dibiarkan tertiarap di bahagian dapur rumahnya tanpa seurat benang sehinggalah ditemui suaminya.

Lebih memilukan, keadaan di dalam rumah mangsa dipenuhi dengan percikan darah yang memenuhi ruang tamu hingga ke dapur.

“Saya bagi pihak PAS Lipis mengucapkan takziah, mengharapkan bersabar dan pasrah dengan takdir kepada suami mangsa (Ahmad Khairu Ab Raman, 27) dan memahami trauma bukan kepalang yang dihadapinya.

“Saya berharap agar pembunuh yang tidak berhati perut itu dapat diberkas dengan segera dan nasib Allahyarhamah dapat dibela,” katanya.

Roslan turut meminta pihak berkuasa yang menjaga keselamatan awam dapat mencari mekanisme tertentu supaya jenayah kejam dapat dikurangkan atau ditangani dengan segera.

Tambahnya, jiran tetangga juga mesti peka dan wajib ambil tahu suka duka jiran masing-masing dan bersedia membantu sekiranya terdengar jeritan atau bunyi pelik datang dari kawasan jiran.

“Kita tidak mahu gambaran kepada umum ialah negara kita sekarang seolah-olah dalam keadaan tak selamat kerana tiap-tiap hari ada saja pembunuhan berlaku. Penjenayah seolah-olah tidak takutkan hukuman yang ada atau tidak serik.

“Di daerah ini saja kita dengar hampir setiap bulan berlaku jenayah kejam pembunuhan, kecurian dan itu belum termasuk lagi kemalangan maut jalan raya, sedangkan Lipis daerah kecil saja,” katanya.

Tiada ulasan: