KOTA BHARU: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Md Ramli yakin, tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat dengan skandal NFC menjelang pilihan raya nanti. (Gambar: Dr Hatta dalam sesi pendengaran awam berhubung penambahbaikan proses pilihan raya dianjurkan Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung penambahbaikan proses pilihan raya (PSC) di Kota Darulnaim)
Namun, oleh kerana kepimpinan negara yang ada belum dapat mempastikan bila mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ketiga belas (PRU-13), justeru maka tindakan belum diambil ke atas mereka yang terbabit dengan skandal NFC atau National Feedlot Corporation.
“Namun saya berkeyakinan, menjelang pilihan raya umum dalam masa terdekat, orang-orang yang terbabit itu akan diambil tindakan sama ada digugurkan atau menjadi kes-kes polis.
“Ini dilakukan bagi menunjukkan bahwa adanya tindakan dilakukan pihak berkuasa," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas sesi pendengaran awam berhubung penambahbaikan proses pilihan raya dianjurkan Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung penambahbaikan proses pilihan raya (PSC) di Kota Darulnaim di sini tengahari tadi.
Jawatankuasa PSC ditubuhkan Dewan Rakyat 3 Oktober 2011 itu dipengerusikan Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.
Dr Hatta adalah salah seorang anggota jawatankuasa itu bagi mewakili PAS.
Ahli Parlimen Kuala Krai itu mendakwa kenapa kes (NFC) yang hampir begitu jelas bagi semua orang, dan yakin Kerajaan BN menganggapnya sebagai satu kes yang besar dan cemas, tidak boleh diselindung lagi untuk menutup kes itu kerana ‘baunya telah keluar’.
Justeru beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat melahirkan perasan kurang pasti kenapa Datuk Seri Najib tidak mengeluarkan sedikit pun ‘kenyataan’ berhubung kes tersebut.
Beliau mendakwa adalah amat tidak munasabah kalau BN dengan kes yang begini terang, masih tetap mengekalkan orang-orang yang terbabit dalam kes NFC itu sebagai calon (untuk pilihan raya umum akan datang, misalnya).
“Jadi saya yakin dalam masa terdekat tindakan akan diambil.
"Dan langkah itu juga akan dijadikan bahan untuk menunjukkan bahawa mereka serius untuk membersihkan kerajaan yang ada," katanya.
Sambil mendakwa dalam kes NFC ramai yang terbabit, maka kemungkinan itulah tolak ansurnya dipendam atau cuba dipendam atau diperlambat-lambatkan tindakannya, namun beliau yakin rakyat tidak boleh membiarkan kes itu hanya terlepas begitu saja.
“Demikianlah maksudnya maka pihak berkenaan memberi bayangan bahawa kalau tindakan diambil ke atasnya, ramai lagi yang terkait, bukan hanya dengan NFC, bahkan dengan bermacam skandal yang lain,” ujarnya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan