Sabtu, 14 Januari 2012

MB Kecekapan Mengurus Wang Perlu Ditingkatkan

Oleh Lizawati Madfa



PETALING JAYA : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi peringatan kepada pentadbiran negeri agar menguruskan kewangan dengan baik seterusnya menjimatkan wang yang diamanahkan rakyat.

Beliau menyampaikan amanat penting ini ketika menghadiri Anugerah Perdana Komuniti Mampan Petaling Jaya 2010/2011 di Hotel One World, Bandar Utama malam tadi.

"Saya ingin mengingatkan semua bahawa bukan jumlah wang yang menjadi persoalan tetapi cara perbelanjaan itu dilaksanakan dan pengurusan kewangan itu yang penting demi pembangunan," tegas Khalid dalam ucapannya.

Khalid turut memberitahu terdapat kebocoran daripada segi penggunaan kewangan sehingga kos meningkat sehingga 30 hingga 40 peratus iaitu kira-kira RM13 hingga 15 juta kos pertambahan.

"Saya lihat ini perlu dikurangkan kerana sudah tentu kecekapan dan kebolehan sesebuah kerajaan itu diukur daripada 'value for money' yang diamalkan.

"Semestinya juga rakyat mengharapkan agar kita menggunakan dana yang ada dengan pengurusan terbaik," pesan Khalid.

Sementara itu, majlis anjuran Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) menganugerahkan Anugerah Integriti Komuniti Mampan dalam 5 kategori di samping anugerah utama iaitu Anugerah Perdana.

Anugerah bagi kategori Integriti Sosial dimenangi oleh Kawasan Rukun Tetangga Damai Senja, Kejiranan Selamat pula dimenangi oleh Kawasan Rukun Tetangga Taman Kasih Indah dan Kejiranan Hijau pula dianugerahkan kepada Rukun Tetangga Flat PKNS Taman Datuk Harun.

Sementara itu, anugerah Tadbir Urus diberikan kepada Persatuan Penduduk Seksyen 21 Simpang dan Anugerah Keusahawanan dianugerahkan kepada Persatuan Penduduk Apartment Idaman Damansara Damai.

Bagi kategori utama Anugerah Perdana, tempat ketiga dimenangi oleh Persatuan Penduduk Mayang Jaya yang menerima geran pembangunan sebanyak RM10,000. Naib johan pula digondol oleh Rukun Tetangga SS2B dengan penerimaan geran pembangunan sebanyak RM 25,000 dan Johan keseluruhan yang menerima geran pembangunan sebanyak RM 50,000 jatuh ke tangan Persatuan Penduduk dan Pemilik Rumah Damansara Jaya (DJROA).

Kesemua anugerah disampaikan oleh Khalid diiringi Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman. Ini merupakan tahun kesepuluh penganjuran anugerah ini dan untuk tahun ini, penilaian telah dilakukan selama dua tahun bermula dari 2010 hingga penghujung 2011.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan oleh artis budaya MPPJ. Antara tetamu kehormat lain yang hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi, EXCO Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan EXCO Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

Tiada ulasan: