KUALA LUMPUR- Aktivis mahasiswa Bukhary Mohd Sofian dari Universiti Malaya (UM) yang ditahan reman selama empat hari sejak semalam dijangka akan dibebaskan pada petang ini.
Bukhary, 21, telah ditahan reman empat hari di lokap Balai Polis Bukit Jalil dan akan dibawa ke Balai Polis Petaling untuk dibebaskan, dijangka pada pukul 3 petang ini.
Menurut peguam yang mewakili Bukhary, Murni Hidayah Anuar, pelajar jurusan Sains Politik Islam akan dibebaskan dengan jaminan polis namun mempersoalkan tindakan polis menahan reman aktivis mahasiswa itu.
"Saya dimaklumkan dia (Bukhary) ditahan atas sebab tidak bekerjasama dengan anggota polis yang mahu memeriksa pengenalan diri dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam berhampiran pintu masuk utama UM.
"Dia ditahan reman selama empat hari tanpa sebarang sebab munasabah, saya tahu polis ada hak untuk menyiasat dan mengambil keterangan...Bukhary ditahan di bawah seksyen 186 kerana enggan untuk bekerjasama," katanya kepada The Malaysian Insider.
Difahamkan dalam kejadian itu Bukhary yang didatangi beberapa anggota polis yang meminta untuk memeriksa pengenalan diri namun enggan menyebabkan dia dibawa ke Balai Polis Pantai.
Pada awal pagi semalam Bukhary dibawa ke Balai Polis Petaling untuk menjalani ujian air kencing sebelum ditahan di lokap di Balai Polis Bukit Jalil.
"Kita tidak kisah jika polis jalankan siasatan atau ambil keterangan tapi bukan keluarkan reman tanpa sebarang sebab munasabah.
"Saya tahu polis ada sebab untuk memeriksa pengenalan diri tapi reman selama empat hari tanpa sebab munasabah tidak boleh diterima dan ini menunjukkan polis tidak profesional," kata Murni Hidayah.
Pada malam sambutan tahun baru, kumpulan aktivis mahasiswa telah disuraikan polis semasa demonstrasi di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim.
Dalam demonstrasi itu Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Mohd Safwan Anang telah dikejarkan ke hospital setelah dikatakan diserang oleh anggota polis yang cuba menyuraikan perhimpunan aman itu.
Demonstrasi itu diadakan berikutan kontroversi tindakan seorang aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim menurunkan kain rentang bergambar Datuk Seri Najib Razak di luar ibu pejabat Umno di sini bulan lalu.
Polis menafikan bertindak kasar terhadap aktivis mahasiswa itu semasa demonstrasi, menegaskan “tiada pergelutan” berlaku apabila tangkapan dibuat yang mana seramai 17 mahasiswa telah ditahan.
Namun mahasiswa dan ahli politik pembangkang mendakwa beberapa mahasiswa yang terlibat dalam demonstrasi menuntut kebebasan akademik dikatakan dibelasah dan ditahan selepas ingkar arahan bersurai yang dikeluarkan polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan