Isnin, 9 Januari 2012

Khalid: Pembebasan Anwar rancakkan reformasi ekonomi

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR-Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Penasihat Ekonomi Selangor dari tuduhan liwat hari ini bakal merancakkan agenda reformasi pentadbiran dan politik negeri itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Khalid berkata, keputusan itu juga memberi lonjakkan moral kepada Pakatan Rakyat Selangor untuk bekerja lebih keras.

“Dengan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor akan meneruskan agenda reformasi pentadbiran dan politik demi kebaikan rakyat,” tambah beliau lagi.

“Bagi Pakatan Rakyat, keputusan ini menjadi lonjakan moral kepada kami untuk bekerja lebih keras bagi merealisasikan agenda reformasi. Masih banyak yang perlu dilakukan kerana politik di Malaysia masih tidak sekata,” kata Khalid.

Dalam pada itu beliau juga menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi itu sebagai satu langkah positif ke arah sistem kehakiman yang bebas.

Katanya, keputusan ini jua membuktikan kematangan sistem kehakiman namun masih banyak yang perlu diperbaiki ke arah badan kehakiman yang benar-benar bebas.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada penyokong Pakatan Rakyat kerana sekali lagi berjaya mengadakan perhimpunan secara aman dan bertanggungjawab selain berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengawal perhimpunan dengan berhemah.

Beliau bagaimanapun kesal dengan kejadian letupan di luar Kompleks Mahkamah yang menyebabkan beberapa individu cedera.

“Saya berharap polis menyiasat kejadian ini secara adil dan telus. Penjenayah yang terlibat dalam kejadian ini perlu menerima hukuman yang setimpal,” katanya.Harakahdaily

Tiada ulasan: