Sabtu, 28 Januari 2012

KEADILAN: Rakyat tidak akan percaya video fitnah terbaru

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - KEADILAN menegaskan rakyat tetap tidak akan percaya terhadap video fitnah terbaru yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty.

Beliau mengulas dakwaan salah seorang ‘Trio Datuk T’, Datuk Shuib Lazim yang mendakwa terdapat satu lagi video yang dikaitkan dengan ketua pembangkang itu.

Menurut Muhammad Nur, video fitnah tersebut tidak berkesan untuk menjatuhkan kredibiliti Anwar, malah terdapat kajian menunjukkan majoriti rakyat di negara ini tidak mempercayainya.

“Masyarakat tidak percaya dengan video ini. Janganlah buat kerja tidak berfaedah di sisi Islam. Islam mahukan umatnya mengamalkan kehidupan aman dan bukannya kerja jahat sebegini,” katanya kepada Keadilandaily.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar ketiga individu berkenaan segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

“Saya nasihatkan Datuk T hentikanlah amalan keji. Mengaibkan orang lain adalah sesuatu perbuatan yang keji dan berdosa besar. Sepatutnya mereka insaf dan bertaubat,” ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Shuib, yang juga bekas bendahari PERKASA, mendakwa video terbaru itu dirakam pada 12 dan 13 Januari tahun lalu di Thailand.

Shuib turut mencabar Anwar membuktikan dakwaan mereka salah atau berdepan dengan pendedahan video berkenaan.

Pada 24 Jun lalu, Shuib dan dua lagi Trio Datuk T, iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Ahli Perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Mereka didakwa selepas menayangkan sebuah video seks fitnah terhadap Anwar di sebuah hotel kepada sekumpulan wartawan pada Mac tahun yang sama.

Bagaimanapun Anwar dan pimpinan KEADILAN menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan sebagai satu lagi usaha untuk menjatuhkan dan mengaibkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Pada Oktober tahun lalu, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati majoriti responden tidak percaya dengan video seks yang dikaitkan dengan Anwar.

Tiada ulasan: