Jumaat, 6 Januari 2012

Dr M: Demo 901 cubaan ugut mahkamah


MALATSIA KINI

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para penyokongnya perlu menghormati undang-undang dan tidak perlu mengugut mahkamah dengan cadangan mengadakan demonstrasi di ibu negara pada 9 Jan ini.

Beliau berkata demonstrasi yang dicadangkan oleh PKR itu adalah satu cara mengugut proses mahkamah dan meletakkan mereka yang terbabit dalam proses perundangan dalam keadaan tertekan.

"Kita tidak harus mempengaruhi mahkamah dengan cara ugutan, umpamanya apabila mahkamah buat keputusan yang untung bagi mereka, mereka tidak ada demonstrasi,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama kepada lebih 150 bekas pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir berkata jika ahli politik pembangkang percaya kepada demokrasi, mereka perlu menunjukkan rasa hormat kepada undang-undang dalam negara dan tidak cuma pandai bercakap tentang pelbagai peraturan yang kerajaan perlu patuhi.

"Negara ini sebenarnya mempunyai peraturan dan undang-undang tetapi pembangkang menganggapnya sebagai satu konspirasi dan mereka tidak perlu ikut.

"Mereka kata perhimpunan yang dianjurkan ini mempunyai kaitan dengan hak bersuara yang diperuntukkan oleh perlembagaan tetapi sebenarnya amat jelas bahawa tujuan mereka adalah untuk mengugut mahkamah,” kata Dr Mahathir.

Dalam ucap utamanya yang berjudul “Malaysia kini dan peranan yang boleh dimainkan oleh pegawai-pegawai tentera yang bersara hari ini”, beliau berkata Malaysia sangat bertuah berbanding negara-negara yang merdeka pada zaman penjajahan British dahulu.

Untuk menilai kejayaan Malaysia, katanya, rakyat negara ini harus melihat negara ini dari luar di mana selepas lebih 50 tahun, kestabilan berjaya diwujudkan. Bernama

Tiada ulasan: