Jumaat, 20 Januari 2012

DAP Nafi Tekan Khalid Nafikan Pas Kerusi Exco Agama

Post Pic



SHAH ALAM : Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok menafikan partinya mengenakan sebarang tekanan untuk menafikan Pas kerusi EXCO Hal Ehwal Agama yang kini digalas oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Teresa membidas pihak yang cuba menyalahkan DAP di atas keputusan Khalid hanya memberikan portfolio Adat Melayu, Beliau dan Sukan kepada Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi yang dilantik menggantikan Datuk Dr Hasan Ali.

"Siapa cakap ini? Mana ada perkara macam ini berlaku. Saya membidas siapa-siapa yang membuat khabar angin dengan membuat cerita-cerita ini, kerana saya tidak pernah dengar perkara ini dan perkara seperti itu tidak pernah berlaku," kata Teresa.

Beliau adalah juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan.

Teresa diminta mengulas pelbagai andaian mengenai keputusan Khalid untuk mengambil alih portfolio Hal Ehwal Islam dan bukan memberikannya kepada Yunus atau exco lain daripada Pas iaitu Iskandar Abdul Samad dan Dr Halimah Ali.

Khalid dituduh tunduk kepada tekanan DAP untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang syariah Islam tidak ditunjangi oleh seorang exco yang terlalu tegas.

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor Datuk Mohd Satim Diman berkata keputusanan Khalid itu adalah tamparan kepada Pas dan mencerminkan politik dalaman Pakatan Rakyat.

“Tanggungjawab menjaga agama Islam sepatutnya tugas Pas dan tindakan Menteri Besar mengambil alih tugas itu menunjukkan PKR dan DAP sudah hilang kepercayaan terhadap Pas,” kata beliau.

Rombakan Exco oleh Khalid semalam diliht melemahkan kedudukan Pas sebagai pemegang amanah penduduk Islam di Selangor, lebih-lebih lagi dengan negeri ini dikatakan menghadapi isu murtad dan pemesongan akidah di kalangan umat yang semakin serius.

Portfolio Exco Hal Ehwal Agama disandang oleh Hasan Ali sejak Mac 2008 sehingga beliau dipecat oleh Pas kerana dikatakan bertindak membelakangkan kepentingan parti.

Pendirian tegas Hasan mengenai penjualan arak di Shah Alam, percambahan hotel bajet sebagai sarang maksiat dan isu murtad sebelum ini mencemaskan parti komponen dalam Pakatan Rakyat, khususnya DAP.

Tiada ulasan: