Ahad, 22 Januari 2012

BR1M diagih berperingkat mulai 28 Jan

Jadual penyampaian disediakan secara berperingkat membabitkan 15 majlis setelah mendapat pengesahan wakil-wakil rakyat di kawasan yang terlibat.


KUCHING: Seramai 42,209 pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Bahagian Kuching bakal mendapat ‘durian runtuh’ apabila pengagihan bantuan berkenaan akan diagihkan secara berperingkat-peringkat mulai 28 Januari ini.

Residen Bahagian Kuching, Abdul Rahman Sebli Senusi berkata, penyerahan baucer BR1M tidak dapat dilakukan pada tarikh sama seperti di beberapa negeri lain disebabkan Pejabat Residen Kuching hanya menerima baucer dan senarai penerima pada 13 Januari 2012.

Beliau berkata, pihaknya telah menyediakan jadual penyampaian secara berperingkat membabitkan 15 majlis setelah mendapat pengesahan wakil-wakil rakyat di kawasan yang terlibat.

“Setakat ini, Pejabat Residen Kuching menerima 42,209 senarai penerima yang telah diluluskan permohonan mereka dengan keseluruhan bantuan berjumlah RM21.1 juta.

“Seramai 9,637 penerima dijangka menerima pembayaran RM500 setiap seorang mulai 28 Januari hingga 7 Februari ini, manakala 32,572 penerima lagi baru sahaja diterima permohonan mereka dan sedang diuruskan,” katanya.

Kad pengenalan

Rahman yang ditemani Timbalan Residen (Pembangunan Bahagian Kuching), Zamahari Haji Saidi dan Setiausaha Penyelaras Majlis

Penyampaian BR1M Kuching, Hairol Nizam Morshidi berharap semua penerima dapat menghadirkan diri ke majlis penyampaian beserta dengan membawa kad pengenalan masing-masing.

Kawasan Parlimen Petra Jaya merupakan penerima teramai BR1M iaitu 11,302 orang, diikuti Stampin (9,446), Bandar Kuching (7,502), Santubong (7,498) dan Mas Gading, 6,461 orang.

Majlis penyampaian BR1M bagi Parlimen Petra Jaya untuk kawasan N.7 Samariang diadakan pada 28 Januari bertempat di Dewan Hikmah dan Tapak Medan Sukma, Dewan Merpati Jepang (N.8 Satok).

Sementara untuk N.6 Tupong diadakan pada 29 Januari di Dewan Kampung Tupong Tengah, dewan Kampung Pinang Jawa, Dewan Taman Malihah dan Dewan SUPP Matang.

Semua majlis penyampaian BR1M untuk Parlimen Stampin diadakan di Dewan Ibu Pejabat SUPP Kuching membabitkan Dun Batu Kawa pada 30 Januari, Dun Batu Lintang (31 Januari) dan Dun Kota Sentosa, 1 Februari 2012.

Majlis penyampaian BR1M untuk Parlimen Santubong untuk Dun Demak Laut diadakan di Dewan MPC, Jalan Demak pada 2 Februari, Dun Pantai Damai di Bangunan Dun Lama (6 Februari) dan Dewan Masyarakat Lundu pada 7 Februari 2012.

Penyampaian bantuan Parlimen Bandar Kuching untuk Dun Pending dan Dun Padungan masing-masing diadakan di Dewan Suarah Kuching pada 31 Januari dan 1 Februari 2012.

“Penerima BR1M tidak dibenarkan menghantar wakil untuk menerima baucer. Pejabat Residen akan bekerjasama dengan agensi yang terlibat untuk menyerahkan baucer kepada penerima yang gagal hadir kerana alasan-alasan tertentu,” kata Rahman.

Penerima boleh menghubungi hotline Pejabat Residen ditalian 082-246991 atau telefon pejabat 082-244434 untuk menyemak kedudukan permohonan mereka bermula jam 8 pagi hingga 5 petang termasuk pada hari Sabtu dan Ahad ini. Pejabat ditutup pada 23 dan 24 Januari ini sempena cuti Tahun Baru Cina.

Penerima BR1M kawasan Parlimen Petra Jaya juga boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Petra Jaya ditalian 082-444390 atau 013- 8051971 (En. Morshidi). Semakan status permohonan turut boleh diperolehi di hotline BR1M Kementerian Kewangan -1-800-222-500/1- 300-88-3010.

Tiada ulasan: