Selasa, 10 Januari 2012

BN nafi tertekan kerana Anwar bebas

KL TODAY.COM

B


N tidak gentar atau tertekan sama sekali dengan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang melepas dan membebaskan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar).Menafikan sindiran seumpama itu, Timbalan Perdana Menteri berkata BN dengan berani telah melalui 12 pilihan raya umum sebelum ini dan sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang dijangka diadakan tahun ini.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden Umno berkata, pengalaman yang diperoleh selama ini akan membantu jentera BN menghadapi pilihan raya umum nanti.

“Tak ada tekanan, siapa yang kata kita tertekan? Apa keputusan sekalipun itu keputusan mahkamah. Kita punya persiapan bukan kerana ada pihak yang menekan kita baru kita kerja. Kita buat kerja seperti biasa.

“Kita sudah melalui proses pilihan raya bukan sekali, dah masuk kali Kita mempunyai pengalaman banyak. Jadi kita tak tertekan dalam soal ini. Kita akan hadapi walau apa pun keadaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan khas kepada warga Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata BN menghormati keputusan berhubung Anwar dan menegaskan kebebasan badan kehakiman membuat keputusan tanpa sebarang campur tangan daripada pihak luar termasuk parti politik.

Beliau berkata keputusan itu juga pastinya akan meningkatkan keyakinan orang ramai mengenai amalan demokrasi negara ini yang berteraskan kepada badan eksekutif, perundangan dan kehakiman tanpa sebarang campur tangan antara satu sama lain.

Katanya keputusan itu juga membuktikan ketelusan sistem demokrasi negara ini kepada dunia luar.

Beliau yakin selepas ini tiada pihak termasuk pembangkang dan pihak yang menyalahkan kerajaan menuduh kerajaan BN kononnya apa yang berlaku di negara ini adalah tidak adil.

“Saya yakin keputusan ini meyakinkan masyarakat Malaysia dan antarabangsa tentang kegigihan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membawa proses transformasi negara ke masa depan yang lebih baik. Ini sudah pun dapat dilihat dengan jelas apa yang berlaku di mahkamah semalam,” katanya.

Keputusan mahkamah yang membebaskan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tidak akan menjejaskan kekuatan Barisan Nasional untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata sama ada Anwar dipenjara atau dibebaskan, ia langsung tidak menggugat kedudukan BN pada pilihan raya umum ke-13 nanti kerana ini bergantung kepada perkara lain yang telah dikenal pasti.

“Ada empat perkara yang menentukan kemenangan BN iaitu pertama rekod pimpinan kerajaan di peringkat negeri dan pusat, dan kedua, dasar-dasar semasa yang diperkenalkan kerajaan seperti gagasan 1Malaysia dan Program Tranformasi Kerajaan.

“Selain itu nasib BN juga ditentukan oleh pengharapan masa hadapan oleh rakyat, seperti rancangan pembangunan yang ingin dibawa kerajaan, dan faktor keempat iaitu kerja-kerja yang dibuat oleh pimpinan BN di semua peringkat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penerangan BN Negeri Sembilan di sini Selasa.

Ahmad berkata Anwar sebagai seorang yang tidak menyumbang apa-apa kepada rakyat, “tidak perlu lagi diperkatakan”, sebaliknya tumpuan harus diberikan kepada langkah menjelaskan kepada rakyat mengenai bantuan yang telah disalurkan oleh kerajaan.

Katanya ada pelbagai bantuan yang disalurkan kepada rakyat yang akan dibukukan dan diedarkan supaya rakyat dapat mengetahuinya.

“Anwar Ibrahim bukan bagi bantuan apa pun, tapi kita bagi pelbagai bantuan seperti bantuan RM100 untuk anak bersekolah, bantuan RM500 untuk rakyat berpendapatan bawah RM3,000, subsidi petrol, diesel, gas dan bahan makanan… ini yang mahu kita ceritakan, lupakanlah Anwar Ibrahim dan hal-halnya itu,” katanya.

Tiada ulasan: