Isnin, 2 Januari 2012

25 petani rugi RM150,000

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar

Tanaman padi dua kampung musnah diserang penyakit karah


PENDANG: Dua puluh lima petani di Kampung Paya Kerchut dan Kampung Padang Kemucut di sini, mengalami kerugian hampir RM150,000 selepas tanaman padi seluas kira-kira 30 hektar yang diusahakan mereka musnah akibat diserang penyakit karah.

Kumpulan petani terbabit mendakwa mengalami kerugian besar selepas hampir 100 peratus padi berusia dua bulan yang ditanam mereka rosak teruk akibat diserang penyakit karah iaitu sejenis kulat yang hidup pada biji padi, sisa jerami dan rumpai.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom, berkata penyakit karah yang juga sejenis penyakit yang paling berbahaya kepada tanaman padi dipercayai menyerang sawah padi sejak awal tumbesaran tanaman.

Beliau berkata, pihaknya akan meminta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melakukan kaji selidik terhadap bekalan biji benih yang dipercayai dibekalkan oleh sebuah syarikat swasta kepada kumpulan petani berkenaan yang kemungkinan sudah dijangkiti penyakit terbabit.

“Kementerian akan mengadakan perbincangan dengan MADA untuk membantu petani berkenaan walaupun pada dasarnya tiada peruntukan bantuan membabitkan kes serangan penyakit pada tanaman,” katanya pada sidang media selepas melawat kawasan sawah yang terjejas akibat penyakit karah di kampung berkenaan, semalam.

Mohd Johari berkata, mengikut rekod setiap tahun hampir 1,000 hektar kawasan padi di negeri ini diserang penyakit karah dan jumlah berkenaan didakwa menurun pada 2004 tetapi meningkat semula sejak 2009.

Beliau berkata, kementerian dan MADA akan menubuhkan satu pasukan khas untuk mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah penyakit karah yang menyebabkan kehilangan antara 50 hingga 100 peratus hasil pengeluaran padi petani.

“Angin adalah penyebar utama kulat ini sekali gus menyebabkan berlaku percambahan jika kelembapan tinggi.

“Lebih 2,000 hingga 6,000 benih kulat dilepaskan untuk sebaran ke pokok lain dan merebak dengan cepat. Justeru, bagi kes serius langkah untuk mengatasinya adalah dengan meracun semula semua tanaman berkenaan bagi mengelak ia terus tersebar,” katanya.

Difahamkan, bagi penyakit karah kaedah kawalan yang perlu dilakukan petani bagi mengelak ia menjangkiti tanaman adalah dengan melakukan pembakaran jerami terkawal, kawalan rumpai di atas batas selain menggunakan benih padi yang dirawat.

Sementara itu, petani, Mohd Zain Abdul Kadir, 71, berkata dia mendapatkan bekalan benih padi berkenaan daripada sebuah syarikat swasta dan mengesan berlaku jangkitan karah 15 hari selepas menabur benih.

“Saya sudah meracun, namun kulat berkenaan tetap menyerang dan apabila padi berusia dua bulan ia kelihatan kekuningan dan mati akibat serangan penyakit berkenaan.

“Ini kes pertama serangan karah membabitkan tanaman padi di sini sejak 50 tahun saya mengusahakan tanaman padi. Saya percaya ia kemungkinan besar berpunca daripada benih atau benih lama yang duduk di dalam tanah dikenali padi batat,” katanya

Tiada ulasan: