Ahad, 9 Oktober 2011

'Ubat pos' disambut baik

MALAYSIA KINI

Perkhidmatan yang bagus. Itu kesimplan yang dibuat oleh orang ramai mengenai perkhidmatan pengiriman Ubat Melalui Pos (UMP) 1Malaysia yang dilancarkan kerajaan pada 24 Jan lepas.

Rata-rata mereka menyambut baik usaha kerajaan itu yang dilakukan selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP), malah ada yang melihatnya sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap rakyat berpendapatan rendah dan golongan miskin.

"Baguslah, perkhidmatan yang macam inilah yang saya mahukan. Saya tak perlu lagi pagi-pagi bekejar ke hospital semata-mata untuk mendapatkan nombor giliran awal dan tak perlu lagi tunggu lama untuk ambil ubat.

"Saya sokong usaha kerajaan ini. Bukan kerana kita ini seorang yang malas nak ke hospital tapi kalau dah ditawarkan perkhidmatan yang mudah dan senang, kita manfaatkanlah sepenuhnya," katanya pesara polis Sidek Salleh, 52, kepada Bernama.

Beliau berkata perkhidmatan itu boleh mengurangkan bebanan pesakit yang sebelum ini terpaksa mengeluarkan belanja bagi petrol, menjimatkan masa dan tidak perlu lagi menunggu lama.

Menerusi perkhidmatan itu, pesakit kronik seperti penghidap darah tinggi dan diabetes tidak perlu lagi berasa bimbang jika bekalan ubat mereka kehabisan kerana mereka boleh memesannya melalui perkhidmatan UMP 1Malaysia.

Perkhidmatan itu memudahkan pesakit kronik yang kehabisan ubat mendapatkan bekalan tambahan yang dihantar ke mana-mana pilihan destinasi pesakit.

Salmina Sulaiman, 39, pula berkata meskipun perkhidmatan yang disediakan kerajaan itu baik, individu khususnya pesakit darah tinggi dan diabetes perlu juga mendapatkan pemeriksaan doktor.

"Macam mana pun dia perlu juga mendapatkan pemeriksaan daripada doktor. Kalau tak, dia mungkin tidak ada kawalan dalam pengambilan ubat," katanya, yang mengakui UMP memberi manfaat besar kepada penduduk pedalaman atau jauh dari hospital atau klinik kerana ia menjimatkan kos.

Kementerian Kesihatan dalam usaha mempromosi penjagaan kesihatan dalam kalangan rakyat telah menambah nilai dan meningkatkan kecekapan beberapa perkhidmatan yang ditawarkan kepada pesakit di hospital dan klinik kesihatan.

Hospital Putrajaya sebagai hospital perintis bagi perkhidmatan UMP 1Malaysia, sehingga Julai lepas, telah merekodkan 296 orang pesakit yang menggunakan perkhidmatan itu.

Angka ini dijangka terus meningkat memandangkan perkhidmatan ini telahpun diperluaskan ke 26 Unit Farmasi, iaitu di semua hospital utama setiap negeri termasuk Hospital Selayang, Klinik Kesihatan Putrajaya dan Klinik Kesihatan Luyang di Sabah.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin memberitahu Bernama di sini, sejak dimulakan sehingga Julai tahun ini, sebanyak 1,901 bekalan ubat telah dikirimkan kepada pesakit.

"Pesakit yang mempunyai preskripsi ubat dengan tempoh pengambilan melebihi sebulan, opsyen akan diberi kepada mereka sama ada mahu ubat berkenaan dikirimkan ke rumah atau pejabat," katanya.

Beliau berkata bagi penghantaran secara ulangan, terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk memudahkan pesakit membuat pesanan sekiranya kehabisan bekalan ubat.

"Hospital atau klinik boleh menghantarnya secara berterusan sekiranya pesakit telah memaklumkannya pada peringkat awal bahawa mereka ingin bekalan lanjutan dikirim sehingga habis tempoh preskripsi.

"Pesakit juga boleh menelefon, menggunakan SMS kepada hospital atau klinik berkenaan dan juga menggunakan sistem PosOnline bagi hospital yang mempunyai perkhidmatan itu," katanya.

Rosnah berkata pegawai farmasi di hospital atau klinik berkenaan juga akan memberikan peringatan kepada pesakit untuk berjumpa doktor selepas tempoh preskripsi berakhir.

Melalui UMP 1Malaysia, pesakit boleh memilih tarikh untuk mengambil bekalan ubat susulan menerusi perkhidmatan "Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu" atau SPUB, "SMS dan Ambil", "Telefon dan Ambil" serta "Farmasi Pandu Lalu" yang memerlukan pesakit datang sendiri.

Perkhidmatan SPUB itu telah dilaksanakan di semua Unit Farmasi di 136 hospital dan 532 klinik kesihatan seluruh negara, "SMS dan Ambil" di 66 hospital dan 44 klinik kesihatan, "Telefon dan Ambil" di 61 hospital dan 36 klinik, dan Farmasi Pandu Lalu telah dilaksanakan di tiga hospital dan 14 klinik kesihatan.

Mengenai kos kiriman ubat menggunakan pos laju yang ditanggung oleh pesakit sendiri, Rosnah berkata RM3.50 dikenakan bagi kawasan Putrajaya, RM5 bagi kiriman di Semenanjung Malaysia dan RM8 bagi Sabah dan Sarawak. - Bernama

Tiada ulasan: