Jumaat, 21 Oktober 2011

Teras: Tindakan UIA gantung tugas Aziz Bari tidak dapat diterima


KUALA LUMPUR, 20 Okt – Kecaman ke atas pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ekoran tindakan ke atas pensyarah undang-undangnya Prof Dr Abdul Aziz Bari meningkat dengan yang terbaru Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menganggap hukuman digantung dari menjalankan tugas “bagaikan legenda Hang Nadim dalam cerita purba Singapura di langgar todak” dan mahu ia ditarik balik.

Pengerusinya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, akibat beliau mengeluarkan pendapat berdasarkan kepakaran dan kelimuan akademiknya, beliau telah dihukum hanya kerana dilihat tidak memihak kepada pihak wewenang dan dianggap mengancam masa depan kelompok politikus bernafsu.

Kata beliau, ia adalah hari yang hitam untuk dunia ilmu dari sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa.

“Menghukum seorang ilmuan untuk tunduk kepada desakan dari golongan yang jahil,” kata beliau dalam satu kenyataan lewat malam ini.

Mohd Azmi menambah, tuduhan yang liar dan cuba mengheret seorang sarjana ke kancah dunia politik tidak beradab serta membuat laporan polis atas alasan menghina Raja-raja Melayu adalah petanda kerendahan politikus bertaraf kelas ketiga.

Kata beliau, Teras dan tidak dapat menerima tindakan pihak pegurusan UIA yang menggantung tugas pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah undang-undang universiti itu atas alasan “memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti” yang telah dimaklumkan dalam surat yang dikeluarkan kepada beliau.”

“Soalnya apakah kepentingan universiti yang telah beliau gugat? Adakah taraf universiti tersebut tercemar? Jika benar, apa buktinya ia tercemar?” kata beliau lagi,

Mohd Azmi menambah, bagi Teras perkembangan semasa ini adalah prisiden dan kejadian yang sangat tidak sihat bagi dunia akademik.

“Prof Aziz Bari berkhidmat dengan UIA sejak 22 tahun lalu menjadi mangsa kepada kegelojohan ahli politik yang hanya mahu seluruh sistem yang ada di negara ini ditundukkan kepada kehendak mereka.

“Yang jelas beliau tidak sama sekali boleh dimasukkan dalam kelompok yang mempunyai kepentingan meraih keuntungan politik seperti terdapat setengah ahli politik yang hanya mempunyai cita-cita dangkal untuk memenuhi ego masing-masing,” kata beliau lagi.

Sehubungan kata beliau, “kami kesal bagaimana beliau telah dilihat sebagai orang yang melakukan hasutan apatah lagi tuduhan bahawa beliau telah melakukan suatu yang menjejaskan imej atau kepentingan UIA.”

“Padahal beliau adalah antara pensyarah kanan dalam bidang undang-undang perlembagaan yang ulung dinegara ini,” kata Mohd Azmi lagi.

Katanya, adalah tidak munasabah beliau mengeluarkan kenyataan yang tidak berasaskan ilmu yang menjadi bidang kajiannya sehingga beliau menjadi sarjana yang mempunyai autoriti untuk memberi pandangan.

“Kesan dari tindakan ini bukan sahaja menjejaskan imej UIA yang seharusnya menghormati kebebasan akademik, malah ia juga menghilangkan keyakinan warga akademik dan masyarakat awam terhadap wibawa universiti itu sendiri,” kata Mohd Azmi yang juga pengerusi bersama Himpunan Sejuta Umat.

Selaian itu implikasi kepada pelajarnya daripada daripada peringkat sarjana muda hingga ke doktor falsafah juga akan turut terjejas, kata beliau.

“Teras juga kesal dengan tindakan beliau disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung reaksinya kepada titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan sebuah gereja di Petaling Jaya. Seolah beliau telah melakukan suatu jenayah besar untuk dihadap dengan sesiatan polis,” katanya lagi.

Soal beliau, apakah hanya dengan mengeluarkan pendapat terhadap Sultan Selangor bahawa baginda sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campur tangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam, menjadi suatu kesalahan.

“Teras menggesa hukuman gantung dari tugas itu ditarik balik dan Prof Aziz diberi kebebasan sebagai seorang sarjana untuk memberi pandangan dalam bidang yang beliau adalah pakarnya,” katanya lagi.

Tiada ulasan: